Thursday 23 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 34

Bab kedua terakhir yang akan ZR post kat blog ni...Insha-ALLAH, kalo ada rezeki dalam versi cetak pulak...mana lah tahu kan..doa2kan ye...hehe...



Bab 34



KETIKA aku bersiap untuk tutup kedai, Amar datang dengan wajah lesunya. Mungkin dia penat. Aku biarkan dia masuk. 

“Sibuk?” Amar menyapa. 

Aku pura-pura sibuk.

“Sikitlah,” jawabku pula acuh tak acuh. 

Amar menghenyak di sofa. Sempat aku jeling dengan ekor mata.

“Dhiya, can we talk?”

“Hmm, boleh.” Aku macam jual mahal. Tapi, sebenarnya aku tak sampai hati nak abaikan dia. Aku bergerak menghampirinya. Perlahan-lahan aku melabuhkan punggung di arah bertentangan.

“Awak akan buat untuk saya?”

“Maksud awak?” tanyaku tanpa memahami maksud pertanyaan Amar. Sikap Amar nampak agak dingin hari ini.

“Awak akan datang malam tu?”

Aku menjawab dengan mengangkat bahu. 

Dia angguk lemah. 

“Okey. Saya faham. Saya takkan paksa awak untuk dating,” ujarnya dalam nada kecewa.

“Amar...”

Amar pandang tepat ke wajahku bila aku menyeru namanya.

“Cuma saya mengharap lebih. Padahal, awak tak pernah ada perasaan pada saya.” Tiba-tiba dia berkata begitu. Perlahan lepaskan tawa kelucuan yang dibuat-buat. 

Ia ke lucu?

“Awak pasti pilih saya?”

“I have never doubt you.” 

“Awak pasti nak kenalkan saya malam tu?”

“Absolutely.”

“Kalau saya pilih awak, awak janji akan jaga saya?”

Amar diam. Kemudian bangun. Mata tak berganjak daripada menatapku. Aku memandang penuh hairan. Dia berjalan mendekati kemudian melutut.

“Amar, apa ni? Bangunlah.” Aku panik dengan tindakan Amar.

“Dhiya, saya janji saya akan jaga awak. Saya akan cintai awak seumur hidup saya. Saya nak hidup bersama awak. Tua bersama awak. Hadapi susah dan senang bersama awak. Saya cintakan awak kerana Allah. Bukan kerana nafsu. Saya janji dengan diri saya akan jadi lelaki yang bertanggungjawab. Saya takkan sia-siakan hidup awak. Saya janji.”

Tak dapat aku sembunyikan rasa sedih. Air mata bergenang di tubir mata. 

“Dhiya, kalau boleh sekarang juga saya nak lamar awak. Tapi ni bukan cara kita sebagai orang Islam. Saya kena jumpa orang tua awak. Bincang dan lepas tu baru suruh ibu saya pula pergi meminang.”

“Amar, terima kasih. Saya tak sangka awak akan buat macam ni untuk saya. Saya sedar selama ni awak berusaha buktikan yang awak betul-betul ikhlas dengan saya. Saya tak tahu kenapa saya masih ragu untuk terima awak,” tuturku dalam esakan kecil.

“Kalau saya main-main, saya takkan buat semua ni, Dhiya. Saya tak pernah buat semua ni untuk sesiapa kecuali awak. Saya nak awak tahu betapa istimewanya awak dalam hidup saya. I am truly madly deeply in love with you.”

“Amar...” Aku benar-benar kelu. Terharu sangat. Sebak kian menyesak dada. 
Kali ini aku tak ragu lagi. Aku akan terima Amar dan aku akan cintai dia seumur hidup aku. Aku yakin dengan perasaan aku dan dialah pilihan aku. Hatiku mula mengakui kehadirannya dalam hidupku untuk kami saling mencintai.


AWAL-AWAL lagi Amar maklumkan yang dia akan sibuk dua hari sebelum majlis. Aku akan cuba fahaminya. Persediaanku pula, aku tak tahu baju apa yang harus aku pakai malam itu nanti. Sudah tentu aku perlu pakai gaun yang bersesuaian. Gaun itu pula mestilah gah. Mana nak cari? Jubah adalah.

Aku membelek-belek pakaian di dalam almari. Yang ada cuma jubah dan baju kurung. Takkan nak pakai baju kurung? Nanti kena gelak pula. Nak pakai jubah, ringkas sangat. Nak beli baju semata-mata untuk majlis tu? Buang duit saja. Lepas itu bukannya aku pakai balik. Nanti peram di dalam almari.

Kuku jari telunjuk aku gigit-gigit sambil berfikir. Walaupun tak pernah termimpi akan hadir ke majlis gilang-gemilang itu, aku mesti nampak menarik dan cantik. Lagipun Amar nak kenalkan aku kepada media. Takkan nak pakai macam pergi kerja. Amar ni pun satulah. Sudah tahu nak ajak aku pergi majlis tu, sponsorlah gaun untuk aku. Yang cantik pun, bakal isteri dia juga. Mesti muka aku akan keluar TV, majalah, surat khabar. Wah, bangganya rasa. Tak sabar!

Penat berdiri, aku duduk di hujung katil sambil merenung ke dalam almari. Susunan baju yang langsung tak sesuai untuk aku pakai ke majlis itu. 

Sebenarnya aku rasa teruja untuk ke majlis itu dan saksikan sendiri secara langsung. Aku juga nak tengok Amar menerima anugerah di atas pentas dan melihat dia membuat persembahan. Selalunya tengok di kaca TV saja. Aku yakin Amar akan menang. Dia cukup berbakat.

Sedang berfikir, aku dikejutkan dengan deringan iPhone. Aku mencari iPhone dalam beg tangan dan melebar senyuman pada wajah. Siapa lagi yang buat aku tersenyum? Amarlah.

“Hmm, saya baru aje fikir pasal awak,” ujarku.

“Ia? Kenapa? Dah rindu ke?”

Aku cemik. Malas nak layan rindu tu. “Free ke ni?”

“Rehat kejap. Tengah rehearsal lagi. Oh ya, kejap lagi Sam akan pergi rumah awak. I got something for you.”

“Apa dia?”

“Tunggu ajelah. I guess, he’s on his way to your place now.”

Amar ada sesuatu untuk aku. Apa dia? Kejutan ke? Ni yang tak sabar-sabar nak tahu ni. “Okey. Saya tunggu Sam datang.”

“Buat apa tu?”

“Tengah tengok-tengok baju yang sesuai untuk pergi majlis lusa. Takkan saya nak pakai biasa-biasa kan...” 

Amar gelak di sana. “Tak payah susah-susah. Actually, hari tu saya dah tempah dress untuk awak.”

“Apa?” Aku di sini terkejut cipan. 

Dia tempah dress untuk aku? Baiknya hati dia. Siapa pereka fesyennya? Tentu bukan calang-calang orang. Susah payah aku fikir baju apa nak pakai malam esok. Rupa-rupanya Amar sudah tempahkan dress untuk aku.

“Yang awak cakap saya tengok awak like something tu sebenarnya saya cuma nak tengok ukuran awak. I hope it suits you well.”

Aku di sini tak terkata. Rupanya aku sudah salah faham. Dia tiada niat lain pun. Amar sanggup tempah dress untuk aku semata-mata untuk malam anugerah itu. Dia memang berharap aku datang ke malam itu.

“Dhiya,” serunya.

Aku dengar namun aku diam sebentar.

“Dhiya, helo... Helo Dhiya.” Amar memanggil-manggil.

“Amar, kenapa awak buat semua ni untuk saya? Saya rasa saya dah menyusahkan awak.”

“Apa yang menyusahkan? Tak ada apa yang menyusahkan. Saya yang nak buat semua tu. Jadi, jangan anggap awak tu menyusahkan saya. Never!”

“Tapi...”

“Jangan cakap apa lagi. Bila Sam sampai nanti, fitting baju tu. Kalau ketat ke apa, bagi tahu saya cepat. Nanti boleh alter. Sempat lagi.” Amar cepat memintas.

“Okey. Thanks, Amar,” ucapku. Aku berterima kasih kerana Amar memahami. Dia tahu aku tak ada baju menarik untuk digayakan pada malam itu. Awal-awal lagi dia sudah tempah untuk aku.

“Oh, don’t mention it. Dhiya, nanti saya call lagi. It’s my turn now. Bye dear.” Amar matikan talian. 

“Bye.” Baru aku balas dengan nada berat. Belum puas nak berbual dengan dia. 

Aku sarung tudung dan turun ke ruang tamu untuk menunggu Sam pula. Sekejap lagi sampailah tu.



SETENGAH jam berlalu. Sam belum sampai. Aku mula rasa mengantuk menunggu walaupun cerita menarik sedang ditayangkan di TV. Nyaris terlelap, aku dengar ada suara memberi salam. Pasti Sam.

Aku melompat turun dari sofa dan bergegas keluar. Sam berdiri di luar pagar bersama beg kertas dan gaun yang berbungkus tergantung bersama hanger.
“Waalaikumussalam,” sahutku seraya membuka pintu pagar. 

Aku berseorangan di rumah. Mama keluar. Sebab itu aku kunci pintu pagar. Takut nanti penjahat masuk.

“Amar suruh saya hantar ni untuk awak.” Sam hulurkan gaun dan beg kertas ke arahku. 

Aku ambil sambil mata menjengah ke dalam beg kertas. Gaun yang aku pegang pun berat. Sarat dengan berlian dan labuci agaknya.

“Terima kasih, Sam,” ucapku. Sam macam terkejar-kejar. Sanggup dia datang semata-mata mahu hantarkan gaun untuk aku. 

“Sama-sama,” ucap Sam tanpa menunggu lama terus masuk ke dalam kereta. 

Bila Sam pergi, aku kunci pintu pagar dan masuk ke dalam rumah. Tak sabar nak tengok gaun dan apa ada di dalam beg kertas itu. 

Mencecah saja kaki ke ruang tamu aku terus buka zip untuk keluarkan gaun. Aku terpegun melihat gaun yang menggabungkan rona hitam dan putih berkilauan dengan labuci. Patutlah berat. Bahagian bawahnya kembang dan berlapis-lapis. Kalah artis.

“Eh, mahal ni. Cantiknya.” Aku kagum lantas padankan ke tubuh. Macam mana rupanya kalau aku pakai? Tak sabar nak cuba, aku bawa gaun dan beg kertas itu naik ke bilik untuk dicuba.

“Lalala...” Aku bernyanyi girang tatkala mendaki anak tangga.

Di dalam bilik, aku keluarkan apa yang ada dalam beg kertas satu per satu. 

“High heel... jewellery... make-up set? Wau, Bobbi Brown? Mahal ni. Clutch Chanel? Wau!” Aku tak terkata. Satu per satu aku letak di atas katil.

Ini memang gila. Kenapa Amar sanggup habiskan duit untuk beli barang-barang yang mahal macam ni? Membazir betul. Yang penting, gaun yang cantik ni. Aku mesti cuba.



“MACAM mana? Okey tak dengan Dhiya?” Aku memperagakan gaun yang Sam hantarkan tadi di depan mama. Aku berjalan ala-ala model catwalk. Siap dengan kasut tumit tinggi. Mama berlagak macam perunding imej.

“Hmm, rasanya belum cukup okey.”

“Apa yang tak okey?” Aku berhenti bercatwalk depan mama. Gaun ini agak labuh mencecah lantai. Nak berjalan pun kena angkat sikit. Ditambah pula dengan kasut tumit tinggi, memang saja nak cari penyakit kalau tersungkur di karpet merah.

“Kalau fit sikit mungkin okey,” kata mama. Letak jari telunjuk di dagu dan berpeluk tubuh di atas sofa.

“Amar memang suruh designer tu longgarkan dress ni. Sebab tu loose. Dhiya tak kisah, mama. Kalau ketat, nanti tak selesa pula.” Sempat aku membelek-belek gaun pada tubuhku. Sedang elok saja. Tak ketat dan tak terlalu longgar cuma labuhnya sampai meleret ke lantai.

“Esok mama akan hantar Dhiya kat Stadium Putra Bukit Jalil. Bangganya mama. Boleh tak mama ikut sekali?”

“Kenapa pulak tak boleh? Tapi Dhiya mungkin duduk sekali dengan Amar. Nanti mama nak duduk kat mana?”

“Duduk kat tempat penonton pun tak apa,” kata mama. 

“Betul mama nak pergi?”

“Taklah. Tak naklah mama. Mama tengok kat TV dahlah. Sama aje.”

Aku angguk ringan. Betul juga. Buat penat saja pergi sana. Kalau ikutkan hati, aku pun tak mahu pergi. Tapi nak buat macam mana, aku telah berjanji dengan Amar. Aku tak boleh batalkan sebab ini merupakan permintaan Amar. Dan aku takkan hampakan dia. Walau apa terjadi, aku akan datang.

Selesai buat catwalk di depan mama, aku naik ke bilik untuk tukar pakaian. Semasa mendaki tangga, aku terasa diri seperti seorang puteri. Apa lagi, aku mula menyusun langkah satu per satu dan silangkan. Penuh sopan dan bermaruah. Fikiran mula membayangkan diri ini berjalan di atas karpet merah yang di kiri kanan dipenuhi peminat, wartawan. 

Bayangkan diri ini dalam lensa kamera. Flash light daripada kamera sepanjang laluan. Akulah diva. Lalu aku melambai-lambai tangan ke kiri dan kanan berjalan di samping Amar. Semua membalas lambaian walaupun aku tahu lambaian itu buat superstar mereka. Aku terus berjalan penuh anggun. Langkah dan terus melangkah. Aku pejamkan mata dan bayangkan suasana di majlis itu nanti. Meriah sangat.

Gedebukkk... 

Aku bersimpuh di atas lantai dan nyaris-nyaris terjatuh. Kuat sangat berangan sampai aku tak sedar aku sudah sampai ke atas. Terpijak hujung dress punya pasal sampai jatuh terduduk aku.

“Aduh...” Aku bangun dan menggosok pinggul. Malas nak bangun, aku merangkak ke arah bilik. Kalau bangun nanti tersadung lagi.

“Kenapalah dia buat dress ni labuh sangat? Nak berjalan pun susah.” Aku merungut sambil berpaut pada tilam untuk bangun. 

Badan aku rebahkan ke tilam dengan mendepang kedua-dua tangan. Aku sambung berangan.





No comments:

Post a Comment