Monday 4 July 2016

TANPA AWAK MACAM NAK GILA! 1

Assalamualaikum. Di kesempatan ni, ZR nak ucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin. Kepada yang balik kampung, hati-hati memandu. ZR faham jalan sesak, tapi sabar tu penting. Cepat atau lambat, kita tetap akan sampai ke kampung halaman. Kalau yang dah balik, semoga bergembira di samping yang tersayang ya. Bolehlah tolong-tolong anyam ketupat, cari buluh lemang kan. Kampung ZR dekat aje. tak perlu terkejar-kejar. Raya, raya jugak. Kesihatan kena jaga, okey? Jangan main mercun. 

Sebelum raya ni, ZR nak belanja bab awal TAMNG!. Panjang sangat tajuk sampai terpaksa pendekkan. Hihihi.



Bab 1

Wajah Adira di depannya ditatap. Keliru. Apa rasa hatinya terhadap gadis itu? Semakin lama semakin kabur. Memang seawal dulu Zafrel menerima Adira kerana simpati. Hubungan atas dasar simpati selalunya gagal. Dia tak mampu membalas cinta Adira kerana dalam hatinya tiada rasa cinta buat gadis itu.

Zafrel tahu Adira pasti sedih jika tahu hakikat ini. Namun, cinta tak boleh dipaksa. Dia cuba untuk mencintai Adira, tetapi hatinya tak mampu. Dia tak mahu terus mempermainkan perasaan gadis itu. Biarlah dia akhiri semua ini kerana Adira juga berhak dicintai. Tetapi, lelaki itu bukanlah dia.

Zafrel mencari masa yang sesuai. Selepas makan malam, dia menghantar Adira pulang. Jadi, dalam perjalanan itu, dia berterus terang. “Dira, Zaf ada benda nak bincang dengan Dira.” 

“Apa dia?” Adira menoleh, lantas menyoal. Bibir tak lekang dengan senyuman. Jika Zafrel ada perkara yang ingin dibincangkan, dia juga ada berita yang ingin disampaikan.

“Zaf tak boleh simpan lagi.” 

Berkerut dahi Adira. Dia gelak walaupun jantung mula berdebar. “Apa maksud Zaf ni?” 

Zafrel mencengkam stereng demi mencari kekuatan. Dia memang tak sanggup nak kecewakan Adira. Tetapi, dia juga tak mahu terus menipu. “Kita tamatkan hubungan kita setakat ni aje.”

“Apa?” Tubir mata Adira bergenang. Merenung Zafrel tanpa kerdipkan mata. 

“Kenapa?” soalnya perlahan. Dengan esakan yang ditahan.

“Zaf tak nak tipu Dira lagi. I... I don’t love you.” 

Adira memekup mulutnya sebaik saja mendengar pengakuan Zafrel. Terenjut-enjut bahunya menangis. Apabila terasa ada sentuhan pada bahunya, dia menepis kasar.

“Kenapa Zaf tak cakap dari awal? Kenapa lepas setahun... baru Zaf cakap yang Zaf tak cintakan Dira? Kenapa?” soal Adira diselangi esakan. 

Air mata disapu rakus. Betapa remuk hatinya saat ini. Berkecai seperti kaca yang terhempas ke lantai. Mungkin tak bisa dicantumkan lagi. Zafrel memang kejam!

“Zaf minta maaf.” 

“Maaf? Senangnya Zaf minta maaf. Selama ni Dira tak pandang lelaki lain. Dira serahkan sepenuh hati Dira kat Zaf. Tapi, Zaf tak cintakan Dira. Bodohnya Dira sebab percayakan Zaf selama ni.” Esakan Adira bertukar ketawa yang sukar ditafsirkan.

Zafrel mengerutkan dahi seketika apabila Adira ketawa. Kemudian gadis itu diam. Lalu Zafrel berhentikan kereta di depan sebuah bangunan. Dia mencari wajah Adira dalam kesuraman cahaya lampu neon di bahu jalan. “Dira...”

Adira mengangkat tapak tangan. Dia tak mahu dengar apa-apa lagi daripada Zafrel. Sebarang penjelasan dah tak berguna baginya. Hatinya luluh. Hancur. Patutlah Zafrel tak pernah melayannya seperti kekasih. Dia benar-benar tertipu selama ini.

Isyarat daripada Adira buat bibir Zafrel terkunci. Dia rasa bersalah. Lebih baik dia rasainya sekarang. 

Adira menyapu air mata. Walaupun esakannya sudah reda, namun air matanya masih belum berhenti mengalir. Dia mencampak pandang ke luar tingkap. 

“Zaf harap Dira akan jumpa lelaki yang lebih baik.” 

Pantas Adira menoleh. Kening bercantum. “Dira dah jumpa. Dah lama jumpa, tapi dia tak cintakan dira. Jadi, Dira takkan tunggu lelaki lain muncul dalam hidup Dira. Dira tak harapkan pengganti Zaf.” 

Zafrel tercengang. Dia tak mengerti maksud Adira itu.

“Hantar Dira balik.” 

Seketika, Zafrel angguk. Dia kembali memandu. Sepanjang perjalanan, suasana antara dia dan Adira cukup sunyi. Adira memandang ke luar kereta sepanjang jalan. Apabila dia bersuara, Adira diamkan. Maka, Zafrel putuskan untuk berdiam diri juga. Dia akan berikan Adira masa untuk pulih.

Sampai saja di rumah, Adira terus keluar dari kereta tanpa berpaling. Dia menarik nafas dalam-dalam. Sekarang, dia akan lepaskan Zafrel. Dia akan kembali lagi untuk dapatkan Zafrel.

Zafrel melepaskan satu keluhan yang berat. Namun, dia tetap berasa lega kerana lepas juga satu beban yang disimpan selama ini. Kereta dipandu pulang ke rumah. Sebelah tangan memegang stereng. Sebelah lagi memegang kepala dengan menyandarkan siku pada pintu kereta.


ZAFREL mencampak serpihan ranting kayu yang dipatah-patahkan ke dalam kolam ikan di laman rumah sambil diperhatikan oleh mamanya, Puan Azzah. Melihat ikan-ikan koi yang berenang-renang di dalam air membuatkan hatinya tenang sedikit. 

Sejak semalam dia tak henti-henti memikirkan tentang Adira. Dia cuba hubungi, tetapi Adira tak menjawab panggilannya. Dia cuma risaukan gadis itu. Baik-baik saja ke dia? Keluhan dileraikan dari bibir.

“Jauh berfikir? Mama rasa dah sampai masanya untuk Zaf bagi keputusan.” Puan Azzah sudah jemu menjadi pemerhati di situ. Sepatah pun tak keluar dari mulut Zafrel.

“Keputusan apa mama?” Sengaja Zafrel buat-buat tak tahu supaya mamanya akan berhenti memujuknya daripada berkahwin. Tangannya berhenti daripada menyemakkan kolam ikan peliharaannya dengan ranting kayu dari pokok bunga berhampiran.

“Keputusan apa lagi, keputusan untuk kahwinlah,” kata Puan Azzah dengan kening berkerut. Curiga sama ada Zafrel sengaja buat-buat tak tahu atau memang tak tahu.

Zafrel merengus kecil. Dia duduk di bangku di sebelah mamanya dan terus memusingkan badan ke arah wanita itu. 

“Zaf nak tanya mama. Zaf ni nampak tua ke?” Serentak Zafrel menghala dua jari ke wajahnya. 

Puan Azzah memerhatikan wajahnya. Berkerut-kerut raut muka Puan Azzah.

“Ha’ahlah. Anak mama ni nampak tua daripada umur sebenar,” usik Puan Azzah dengan mimik serius. Sengaja nak menyakat Zafrel.

Zafrel mengerutkan wajah.

“Mama, Zaf serius ni mama. Mama main-main pulak.” Zafrel tarik wajah. 

Puan Azzah senyum tatkala Zafrel menatapnya.

“Zaf ingat mama main-main ke suruh Zaf kahwin ni?” Serta-merta wajahnya berubah serius. 

Zafrel tertelan air liur. Nampaknya mamanya tak main-main kali ini dan benar-benar maksudkannya.

“Mama, Zaf masih muda lagi. Zaf baru 26 tahun. Takkan mama dah nak suruh Zaf kahwin? Zaf belum bersedia lagi,” ujar Zafrel membantah.

“Zaf tahu tak, mama kahwin dengan papa dulu masa papa umur 23. Lagi muda. Boleh aje jadi ketua keluarga, jadi imam untuk mama.” 

“Itu dulu, mama. Tu zaman bila? Sekarang zaman moden, zaman sekarang orang tak hairan dah kalau kahwin lambat. Kalau dulu memanglah. Lambat kahwin, orang kata tak laku. Sekarang orang tak kisah mama nak kahwin umur berapa. Yang tak kahwin-kahwin pun ada.”

“Hisy! Kamu jangan nak merepek. Yang nak pergi ambil kira semua tu buat apa? Buat apa nak ikut orang?” tegas Puan Azzah.

“Mama, tolonglah consider sikit. Zaf belum ada calon. Macam mana nak kahwin?” 

Puan Azzah menyungging senyuman penuh makna. Belum ada calon ya? Itu bisa diatur. Dia masuk ke dalam rumah dan mencari kunci.


PUAN AZZAH masuk ke stor rumahnya. Dia perlu cari sesuatu untuk menjalankan misinya. Dia cuma perlu cari kotak di mana dia menyimpan barang-barang Zafrel sejak sekolah. Semua pencapaian Zafrel sewaktu di bangku sekolah disimpan sebagai kenangan. Zafrel sendiri tak tahu yang dia menyimpan semua itu.

Stor itu sedikit berdebu kerana sudah lama tak dikemas. Dengan kotak-kotak yang bertindan antara satu sama lain menyukarkan pencarian Puan Azzah. Dia mencari kotak berwarna biru. Matanya meliar di segenap ruang stor. 

Sambil mencari, Puan Azzah tersenyum sendiri. Dia teringatkan lukisan Zafrel ketika darjah lima dan beberapa pucuk surat. Lukisan Zafrel berkahwin dengan kanak-kanak perempuan. Kanak-kanak perempuan itu tentulah anak jiran rapatnya dulu. Dan, surat itu pula ditulis oleh Zafrel untuk Hessa. Dia tak pasti surat itu masih disimpan atau sudah dibuang. 

Setelah berpindah, mereka terputus hubungan. Dia tak tahu yang Zafrel sukakan Hessa kerana mereka berdua selalu bergaduh. Namun, dia tak ambil pusing hal itu. Lagipun, perasaan suka waktu itu tak membawa apa-apa makna dalam hubungan. Sekarang, dia akan jadikan apa yang Zafrel lukiskan dulu satu kenyataan.

Keringat mengalir di dahi Puan Azzah. Ia sangat berbaloi kerana lukisan yang dicari telah dijumpai. Lukisan itu mungkin sudah lusuh, tetapi masih jelas apa yang dilukis. Puan Azzah senyum sambil menggeleng-geleng kepala.

“Selamat pengantin baru. Zafrel dan Hessa Yasmin.” Puan Azzah membaca nama yang ditulis pada lukisan itu. 

Zafrel melukis dirinya memakai baju tuksedo dan Hessa memakai gaun. Tulisan, memang cakar ayam. Ketika Puan Azzah sedang merenung lukisan itu, tiba-tiba pintu stor terkuak. Dia terperanjat lalu menggulung semula lukisan itu. 

Sebalik pintu, Zafrel muncul dengan kening terjongket. “Mama buat apa dalam stor ni? Cari harta karun ke?”

“Eh, taklah. Mama cari barang mama. Mama lupa simpan kat mana.” 

Zafrel angguk tanpa curiga. Dia perhatikan seluruh ruang stor. Macam-macam ada. Dia tak tahu kenapa masih ada barang yang telah lama disimpan. “Mama, dah banyak sangat barang dalam stor ni. Kenapa tak buang aje mana yang tak penting?” 

“Mana boleh buang. Semua barang dalam stor ni penting. Barang-barang papa pun banyak ni. Zaf nak ke mana ni?” Puan Azzah alih topik. Penampilan Zafrel yang kemas seperti ingin keluar menarik perhatiannya.

“Nak keluar kejap. Zaf pergi dulu.” 

Puan Azzah angguk. Apabila Zafrel mula beredar, dia menghela nafas lega. Tatkala dia ingin mengambil semula lukisan itu, Zafrel datang kembali. Kelam-kabut dia dengan berpura-pura mengemas.

“Zaf balik lambat.” 

“Err... ya.” 

Zafrel berkerut sejenak. Mamanya nampak cuak. Namun, dia tak ambil pusing akan hal itu. Mungkin mamanya terkejut saja. Kali ini, Zafrel terus keluar. Sambil menuju ke kereta, dia menghubungi Johan.




No comments:

Post a Comment