Tuesday 28 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 35

Assalamualaikum...mood kureng ari ni...tapi blog tetap menjadi poooojaan hatiku...ok la, macam yang ZR gtau dalam post yg lepas, ni bab terakhir JSK yang ZR post kat blog...TETAPI....haaa ada bab special yang ZR akan post jugak...tapi sikit aje la...nanti tak surprise lak...bernoktahkah atau tidak cinta Dhiya dan Amar pada majlis AMM tu? Jom, ikuti sambungan kisah cinta Dhiya ni...


Bab 35



PAGI itu sebelum pergi kedai, aku bawa semua yang Amar beri untuk aku pakai malam nanti. Aku akan bersiap di kedai saja. Mungkin aku kena pergi lebih awal untuk mengelakkan terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas. 

Masuk kedai, aku letak dress dan barang-barang lain di dalam bilik mama. Kebetulan mama baru saja masuk ke biliknya.

“Sempat ke nak bersiap kat sini? Pukul 8.30 dah mula siaran langsung red carpet,” tegur mama. 

Amboi, dia lebih tahu pasal ni.

“Sempat kut. Kalau lambat, Dhiya minta Amar tunggu. Lagipun Amar cakap Dhiya kena jalan dan duduk dengan dia,” jelasku.

Setelah aku letak semuanya di dalam bilik mama, aku keluar ke depan. Tatkala aku melabuhkan punggung di kaunter, iPhone aku menjerit di dalam beg tangan. Apa lagi, mekar senyuman aku melihat skrin. “Helo?”

“Helo. Buat apa?” sapa Amar. Hmm, garau semacam suara dia. Ke baru bangun tidur?

“Baru nak mula kerja. Awak?”

“Lepak kat rumah. Penat sangat. Dah sedia untuk malam ni?”

Aku angguk menandakan aku memang sedia. Walaupun Amar tak nampak. “Dah. Saya dah bawa baju ke kedai. Takut tak sempat.”

“Lepas solat maghrib tu awak kena datang terus. Saya akan tunggu awak kat red carpet.”

Yes! jerit hati kecilku.

“Okey. Awak kena tunggu tau. Lagipun saya tak pernah pergi majlis macam tu. Saya rasa janggal pula. Bukan ada orang kenal saya. Nanti orang ingat budak mana sesat kat situ. Awak tunggu saya tau.” Berkali-kali aku berpesan. Aku akan rasa kekok jika masuk ke sana tanpa Amar.

“Saya tahu. Saya akan tunggu awak. Kita akan jalan sama-sama kat red carpet tu dan awak akan duduk sebelah saya.”

Aku tersipu-sipu malu. Sambil itu aku bayangkan aku dan Amar berjalan di karpet merah. Haisy... malulah. Nanti semua orang akan pandang. Kami pasti akan menjadi perhatian peminat dan wartawan.

“Dhiya...”

“Err... ya? Emm... saya. Kenapa?” Aku tak keruan. Terberanganlah pula.

“Awak buat apa? Kalau ada kerja tak apalah. Kita cakap lain kali. Oh ya, boleh tak saya pergi sana? Jumpa bakal isteri saya? Dah seminggu kita tak jumpa.”

Bakal isteri? Aku di sini mula tersenyum. Elok sangatlah kalau dia datang. Tapi, kena jual mahal dulu. “Nak datang buat apa? Malam ni kan boleh jumpa.”
“Malam ni tak sama. Kalau saya pergi sekarang, cuma kita berdua.”

Aku cebik. 

“Kalau nak datang tu, bawalah apa-apa yang patut. Roti canai ke, kuih ke, nasi lemak ke. Apa-apa ajelah untuk breakfast.” Aku tanpa rasa malu lagi meminta daripada Amar. 

“Belum breakfast ke?”

“Belum lagi. Baru buka kedai ni. Nak datang ke?”

“Saya mandi dulu. Nanti saya beli breakfast untuk awak. Okey?”

“Belum mandi?” Terbuntang mata aku. 

Amar gelak selamba di sana. “Saya baru bangun ni.”

Huh, aku memang sudah agak daripada suara Amar. Lepak di rumah konon. Berlingkar atas katil adalah.

“Patutlah ada bau.” Aku mengusik.

“Hei, mana ada bau. Hah.”

Aku dengar Amar hembuskan nafas. Beria-ia betul dia. Macamlah aku di sini dapat hidu. “Dahlah. Saya bergurau ajelah. Pergi mandi cepat. Saya memang dah lapar ni. Kalau awak lambat, saya gigit awak.”

Dia ketawa lagi. “Okey. Okey. Saya pergi mandi.”

Aku senyum panjang. Dengar kata pun.

“Amar...” panggilku.

“Ya? I love you too,” kata Amar tiba-tiba. 

Aku ketap bibir. “Eh, bila masa saya cakap?”

“La... ingatkan awak cakap those three words tadi.” Mengekek Amar ketawa. 
Terkena juga aku. Dia ni memang... 

“Malaslah cakap dengan awak macam ni. Bye!” Aku geram lalu matikan talian. 

Dia sudah pandai bergurau sekarang. Perlahan kepalaku menggeleng. Namun, tersenyum tiba-tiba. Aku tak pernah ucap tiga perkataan itu kepada Amar. Biarlah aku simpan saja dalam hati.

Teringatkan kalendar, aku ambil dan tandakan pangkah. Inilah harinya. Hari yang akan menjadi memori terindah antara aku dan Amar. Ramai yang akan menjadi saksi pengakuan Amar. Dalam berjuta-juta wanita, aku paling bertuah untuk bertakhta di hatinya. Siapa sangka perkara macam ini boleh terjadi. Tiada yang mustahil kecuali dengan kehendak Allah SWT.

Bukan mudah untuk aku menyayangi Amar sebagaimana yang aku pernah curahkan kepada Khalif. Aku cuba menyayanginya dan aku ikhlas. Kesungguhan Amar yang membuka hati aku selama ini.

Malam ini akan menjadi sejarah dalam hidup aku. Tarikh yang akan aku ingat sentiasa selain tarikh lahir aku. Aku juga tak lupa tarikh lahir Amar yang jatuh pada 29 Februari. Tarikh yang sangat istimewa. Dia cuma akan sambut hari lahirnya empat tahun sekali. Bermakna Amar akan sambut hari lahirnya pada tahun depan. Nak buat macam mana, dia lahir dalam tahun lompat. 

Sedang asyik merenung kalendar, pintu kedai diketuk dari luar. Aku tersentak kecil lantas menjengah kepala. 

“Shah?” Aku dengan perlahan bingkas sambil otak memikirkan sesuatu menuju ke pintu. 

Shah menolak dari luar dan aku mengorak senyum.

“Good morning,” ucap Shah. Sentiasa ceria. Dia angkat plastik yang dibimbit di tangannya untuk ditunjukkan kepada aku.

Aku terpaku.

“Hai mama!” Shah lambai ke arah mama pula. 

Aku berpaling seketika dan lihat mama membalas lambaian Shah. Shah kembali beri pandangan ke arahku.

“Saya tahu awak belum makan. Ni, saya ada beli roti canai dari kedai mamak. Favourite awak. Kuah dal dia paling sedap. Kuah kari dia... umphhh... marvelous!” Shah cium ibu jarinya untuk terangkan kepada aku betapa sedapnya kuah dal dan kuah kari. 

Hidu baunya saja aku tahu kuahnya memang sedap. Bau roti canai menyelerakan. Sampaikan baunya menyerap segenap zarah udara. Lebih-lebih lagi dalam bangunan berpenghawa dingin. “Berapa keping ni?”

“Lima keping saya beli. Yang telur dua dan kosong tiga.” 

Aku angguk. Rasa makin lapar pula. Tetapi, aku sudah pesan roti canai kepada Amar. Kalau aku makan yang Shah bawakan, nanti membazir pula roti canai yang Amar beli. Kalau tak makan roti canai ni, membazir juga. Serba salah betul rasanya.

“Jom. Kita makan sama-sama.” Shah mula mengatur langkah ke arah ruang tamu.

“Shah...”

Shah berpaling namun masih terus berjalan dan duduk di ruang tamu. Bungkusan roti canai diletak di atas meja bulat.

“Mama! Jom makan roti canai!” jerit Shah dari luar seraya mengeluarkan bungkusan kuah dal dan kari. Kemudian roti canai. 

Aku yang memerhati terpaksa ke pantri untuk mengambil mangkuk dan pinggan.

“Macam mana ni? Kalau Amar sampai nanti dan dia tengok Shah ada kat sini, tak pasal-pasal bergaduh nanti. Takkan nak halau Shah pula? Shah ni pun satu. Main datang saja. Kalau nak datang tu, apa salahnya SMS dulu. Telefon dulu,” bebelku perlahan. Tangan mula mencapai pinggan dan dua buah mangkuk. Aku tindankan di atas pinggan sekali gus.

“Yang ni roti canai, yang sana roti canai. Dah macam muka roti canai aku ni. Hari-hari makan roti canai.” Aku sambung membebel lalu mengangkat pinggan untuk dibawa keluar. 

Tiba-tiba aku terpaku. Mama tercgat di depan pintu pantri. Aku menghela nafas yang tersekat kerana terperanjat tadi. “Mama, terkejut Dhiya.”

Mama masuk.

“Apa yang membebel sorang-sorang ni? Kalau Shah dengar macam mana? Kecil hati dia nanti,” tegur mama.

“Kuat sangat ke Dhiya cakap tadi? Rasanya dah cukup perlahan,” kataku separuh berbisik. Ekor mata sempat melihat ke arah Shah di luar. Lelaki itu sedang bermain dengan handphone. 

“Mama kat sebelah boleh dengar.”

“Memanglah mama dengar. Mama kat sebelah ni, Shah kat depan tu. Jom mama, pekena roti canai.” Aku ajak mama untuk sarapan bersama. Baru nak melangkah, mama menahanku.

“Dhiya, mama rasa baik Dhiya terus terang dengan Shah yang Dhiya dah terima Amar. Selagi Dhiya tak bagi tahu, selagi tu dia akan terus berharap dan cuba ambil hati Dhiya. Mama tak nak Dhiya keliru lagi. Kalau Dhiya pilih Amar, baik terus terang dari awal dekat Shah. Lagipun lepas malam ni, satu Malaysia akan tahu pasal hubungan Dhiya dengan Amar. Dhiya nak Shah kecewa? Mama rasa, ada baiknya dia dengar dari mulut Dhiya berbanding dia tengok di TV nanti.”

Kata-kata mama membuatkan tubuhku terasa lemah. Kenapa aku langsung tak fikirkan pasal Shah? Betul kata mama. Shah akan lebih kecewa kalau tahu perkara ini melalui TV atau media berbanding mendengarnya daripada aku sendiri.



SEKEPING roti canai sudah aku habiskan. Aku masih mencari ruang untuk bercakap daripada hati ke hati dengan Shah. Aku perhatikan Shah makan. Memang sedikit gelojoh. Maksud aku bukan gelojoh yang lahap itu. Tetapi makan dengan cepat dan masih ada tertibnya. Tak comot, tak tumpah, tak meleleh. 

“Kat mana nak basuh tangan?” tanya Shah apabila berjaya habiskan roti canai tiga keping.

“Sana.” Aku tunjuk ke arah pantri.

Bila Shah bangun dan menuju ke pantri, aku pandang mama.

“Mama, Dhiya tak tahu macam mana nak cakap,” getusku risau.

“Dhiya kena yakin. Faham?”

Aku termangu, memandang ke arah Shah yang membasuh tangan di singki. Aku nampak air muka Shah. Dia nampak ceria. Selalu ceria. Aku tak sampai hati nak hilangkan keceriaan pada wajahnya itu. Aku juga tak nak jadi manusia yang kejam. Mungkin berita malam nanti akan menghapuskan terus seri pada wajahnya. It is now or never. 

Shah datang kembali. Duduk bersama kami. Mama pula bangun untuk basuh tangan. Sebelum bangun, mama cuit bahu aku. Aku faham. Mama mahu aku mulakan sekarang. Pada aku, baik aku beri sedikit masa kepada Shah.

“Shah!”

“Dhiya!”

Serentak. Kami terpaku. Kemudian gelak malu-malu.

“Awak nak cakap apa?” tanya Shah.

“Awaklah cakap dulu,” kataku.

“Okey. Sebenarnya saya nak kenalkan awak dekat famili saya. Itu pun kalau awak sudi.”

Ya. Inilah masanya. Tetapi kena perlahan-lahan. 

“Kalau sampai nak bawa jumpa famili ni, selalunya...” Aku sengaja biarkan ayatku tergantung. Aku nak tahu sama ada apa yang Shah akan katakan sama ataupun tidak dengan apa yang aku fikirkan.

“You’re right.”

Aku kejang beberapa saat. Jadi betullah apa yang aku fikirkan?

“Saya dah pernah kecewa sekali. Jadi saya tak nak kecewa lagi.”

Automatik aku menundukkan wajah. Ya, satu masa dulu Shah pernah kecewa dan putus tunang. Kalau aku beritahu yang aku memilih Amar, tentu dia akan kecewa lagi. Baru saja dia cakap yang dia tak mahu kecewa lagi. Adakah aku insan yang akan mengecewakannya untuk kali kedua?

“Saya tak pernah cerita pada sesiapa pasal ni. Kecuali keluarga saya yang tahu dan dia orang tak pernah ungkit depan saya. They are very understanding. They care about my feelings. Especially my mom.”

Aku tahu. Ini tentu pasal dia putus tunang. Puan Dina sudah ceritakan semuanya kepada aku. Kalau Shah nak ceritakan semula, aku sudi saja mendengar. Hari itu versi Puan Dina. Kalau versi Shah, mesti lebih menarik ceritanya.

“Saya pernah bertunang dulu.”

Reaksiku biasa. Tapi bila teringat yang aku pura-pura tak tahu kisah Shah, terus aku buat riak terkejut.

“Tapi dah putus.” Cepat Shah sambung.

“Kenapa?”

“Tak ada jodoh.”

Ringkas betul jawapan Shah. Memang betul pun, kalau sudah tak ada jodoh, apa boleh buat. Tetapi, tentu ada sebabnya. “Sebab tu awak pergi Qatar?”

Shah angguk. “Saya dah lama lupakan dia. Saya cuma tunggu habis kontrak kat sana dan saya balik sini.”

Aku angguk lagi.

“Mana-mana lelaki tak nak hubungan cinta berakhir macam tu. But it’s part of life that we must go through.”

“Betul.” 

“Jadi saya pun tak nak kalau saya biarkan awak tanpa menyunting awak.”

Air liurku telan. Ayat dia tu macam serius saja. Bila aku dengar semua ceritanya, aku makin tak sampai hati untuk berterus terang. Kenapa dengan aku ni? Terlalu nak menjaga hati orang lain pula.

“Okey. Sekarang, awak pula cakap.”

Sekarang giliran aku. Aku termangu dengan wajah yang agak sugul. Patut ke tak patut? Aku pandang ke bilik mama. Mama asyik menulis. Aku kembali pandang ke wajah Shah. Beratnya rasa untuk aku berterus terang. Namun, aku tabahkan hati untuk beritahu Shah perkara sebenar. Aku cuma berdoa agar Shah menerimanya dengan hati yang terbuka. Aku tarik nafas dalam-dalam dan mulakan bicara. Itu pun berat untuk aku suarakan walau dengan satu perkataan.



“SHAH...”

“Saya kat sini. Kenapa?”

Bergurau pula Shah ni. “Saya ada benda penting nak bagi tahu awak. Saya harap awak terima dengan hati terbuka.”

“Macam suspens aje.”

Aku senyum kelat kala itu. “Saya pernah tanya awak. Kalau betul saya dengan Amar memang couple, awak kisah tak.”

Shah mula nampak terkejut. “Saya ingat. Jadi awak nak bagi tahu saya yang awak dengan dia memang couple?”

Aku mematung. Seketika, aku angguk.

Shah senyum. Aku tak tahu apa erti senyuman dia. Sama ada senyuman itu bermaksud ya, saya memang dah lama tahu. Atau senyuman tu bermaksud, dah agak dah. Mungkin, Shah cuba nak melindungi perasaannya. Dia tak mahu nampak sedih dan kecewa tetapi aku tahu dia rasa begitu saat ini.

“Well, saya memang dah agak. Sebab tu saya tanya awak,” katanya. Tenang.
“Masa tu saya belum terima dia.”

“Maknanya, awak baru terima dia?”

Aku anggukkan saja.

“Okay. It’s okay. I’m okay,” kata Shah lantas gelak kecil. Macam menyembunyikan perasaan terluka. 

Aku pula rasa menyesal bila melihat dia tergelak. Aku tahu dia berselindung sebalik ketawanya. Dia buat aku lagi rasa bersalah. “Shah, saya minta maaf.”

“Tak perlu minta maaf. Saya okey. Jangan risau. Awak berhak buat pilihan. Mungkin Amar ada kelebihan yang tak ada pada saya.”

Aku rasa Shah macam menyindir pula. Aku pilih Amar bukan kerana dia seorang superstar. Aku tak memandang semua itu. “Awak akan jumpa gadis yang lebih baik.”

Shah senyum sinis kepadaku. “Ramai yang cakap macam tu. Don’t worry, Dhiya. Saya tetap dengan keputusan saya.”

“Maksud awak?”

“I want to be your last standing man. Kiranya saya ni calon simpananlah. Saya bukan doakan hubungan awak dan Amar berakhir. Kalau benda tu jadi, saya akan ada untuk awak. Saya akan tunggu,” tegas Shah.

“Shah...”

“Betul. Memang betul. Saya akan tunggu awak... selagi awak belum berkahwin.” Hujungnya Shah tergelak. Sempat lagi nak melawak. “Saya akan jadi calon simpanan untuk awak. Bila-bila awak perlukan saya, saya akan datang. Okey?”


No comments:

Post a Comment