Tuesday, 14 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 30 & 31

Hai hai.....JODOHKU SUPERSTAR  akan sampai ke penghujungnya tak lama lagi. Jadi ada empat bab lagi yang akan ZR post kat blog ni. Semoga terhibur ye....



Bab 30




SELEPAS hidangkan air, aku duduk bersama Amar di ruang tamu. Dia ada sesuatu yang nak diberitahu kepada aku. Macam penting.

“Minumlah dulu.”

Amar angguk. Angkat cawan dan teguk sedikit. Kemudian letak semula. “First of all, saya nak minta maaf dengan awak.”

“Sebab apa?”

“Saya tak sangka keluar cerita pasal awak dan saya dalam paper. Sekarang dah heboh pasal tu. Wartawan asyik cari saya. Saya tak kisah. Cuma saya takut reaksi awak nanti kalau tahu pasal cerita tu.”

“Saya dah tahu,” ujarku tenang. 

Amar pandang tepat ke wajahku. “Awak dah tahu?”

Aku angguk. “Saya tengok dalam berita. Saya tak marah. Cara awak jawab tu betul. Awak tak kata awak dah ada dan awak tak kata tak ada langsung. Kita berkawan. Saya rasa peminat awak boleh terima.”

Amar angguk.

“Betul. Peminat boleh terima. Ramai yang menyokong saya dan suruh saya cepat-cepat kahwin. Tapi, saya tak boleh bagi tahu peminat saya semua tu kalau awak belum bagi jawapan yang pasti pada saya. Saya tahu susah untuk awak buat keputusan ni. Saya tahu awak berhak pilih orang yang lebih baik daripada saya. Tujuan saya datang ni pun saya nak tahu dari mulut awak. Kalau ada sedikit perasaan untuk saya, saya nak tahu. Sekurang-kurangnya saya yakin saya ada peluang. Saya serius dengan awak, Dhiya. Kalau awak terima saya, sekarang jugak saya bagi tahu media dan saya akan kenalkan awak pada dia orang.”

Tergamam aku mendengar kata-kata Amar. Kenalkan aku pada media? Aku tak sangka aku menjadi pilihan superstar. Aku gadis biasa. Aku tak sehebat dia yang ada segala-galanya.

“Dhiya, macam ni? Kalau awak terima saya, saya nak awak bagi saya jawapan tu sebelum majlis AMM bulan depan.”

Kenapa mesti sebelum AMM? Aku tak faham. “Kenapa sebelum majlis tu?”

“Sebab saya nak bawa awak pergi majlis tu dengan saya. Sebelum ni awak cuma tengok kat TV. Tahun ni, saya akan bawa awak tengok sendiri majlis anugerah tu. Oh ya, ada enam pencalonan. Saya tak kisah menang ke tak. Dah tercalon pun kira bagus.”

Aku senyum bangga. “Tapi tahun lepas pun awak dapat, kan? Artis Baru Lelaki Terhebat?”

Amar angguk. Senyum. Tak nampak bangga diri.

“Bukan tu aje. Lepas satu, satu anugerah awak gondol. Sejak tu nama awak naik dan popular sampai sekarang.”

“Maknanya awak ikuti perkembangan sayalah?”

Aku geleng. Amar pamer riak hampa.

“Saya tahu semua tu daripada Fafa. Kawan saya tu. Tapi kami dah tak rapat sekarang.”

Bila sebut tentang Fafa, aku teringat tentang kedatangan dia tempoh hari. Dia beri amaran kepada aku supaya jangan sesekali bercinta dengan Amar. Dia tak tahu ke yang Amar tengah kejar aku sekarang dan bukan aku yang terhegeh-hegeh? Kalaulah Fafa tahu ni, meroyan dia. Diligannya aku sampai Bukit Gantang nanti.

“Awak fikir apa tu, Dhiya? Jangan fikir sorang-sorang. Saya nak tahu jugak.”

Aku senyum cemik. “Saya tak percaya yang awak sukakan saya. Saya rasa tak boleh terima.”

“Kenapa awak tak percaya? Saya pun manusia biasa. Tak ada apa yang lebih. Saya suka awak pun sebab awak selamba. Tapi saya tetap takkan lupa yang awak cakap awak bukan peminat saya. Okey?”

Aku gelak. Teringat pengakuan berani mati aku itu. Depan peminat-peminat dia. Menyesal rasanya. “Maaf.”

“No need. Sejak tu, saya balik dan terfikir. Nasib baik saya kenal awak. Saya tak jadi nak saman awak. Masa tu saya tekad, saya akan buat awak jadi peminat saya.”

“Awak rasa saya ni peminat awak ke sekarang?”

“Well... Sekurang-kurangnya saya tahu awak repeat lagu-lagu saya.”

Rahangku jatuh.

“Mana awak tahu ni?” soalku tak keruan. Haisy... ni mesti mama yang cakap.
Amar kulum senyumannya. Aku turut tersenyum. Malu-malu.

“Senyum, senyum jugak. Jangan lupa apa saya cakap tadi. Saya nak jawapan sebelum majlis tu. Faham?”

Automatik senyumanku pudar. “Tak boleh lama sikit?”

“Awak tak yakin?”

“Saya perlukan masa yang panjang untuk fikir.”

“Sebulan setengah. Tak cukup?”

Aku mendengus. “Err... nanti saya fikir. Tapi apa pun keputusan saya, awak kena sedia. Okey?”

Amar tak beri reaksi. Dia berfikir.

“Saya akan sedia.” Sayu suaranya. 

Aku rasa serba salah. Aku tak tahu aku harus terima atau menolak cintanya. Dia tak pernah ucapkan. Dia cuma tunjuk yang dia sukakan aku. Dia tak pernah luah. Itu yang aku perasan. Perlahan aku mengorak senyum tipis. 

Amar habiskan airnya.


KUSUTNYA kepala ni. Mana nak fikirkan Amar. Mana nak fikirkan Shah. Dua-dua tengah menghimpit aku sekarang. Aku tak boleh ke kiri, tak boleh ke kanan. Si A asyik tanya jawapan. Si S pula asyik nak ajak keluar. Pening kepala aku memikirkan mereka berdua. Hilang seorang lelaki memanglah sedih. Lagi menyedihkan bila dua orang lelaki muncul serentak.

Semua ini mengubah corak hidup aku secara total. Sebelum ini, aku ceria juga. Sekarang, monyok. Terlalu banyak benda yang terpaksa aku fikirkan. Kalau aku ni Miss Malaysia tu lainlah nak menjadi rebutan. Ni taraf Ratu Kebaya Bukit Gantang pun tak lepas.

Kalau ikutkan firasat aku, aku selesa bersama Amar. Tetapi tahapnya terlalu tinggi bagi aku. Aryan Shah pula, dia ni agak gila-gila, happy go lucky dan selamba. Aku pun selesa berkawan dengan dia. Cuma yang menjadi masalah sekarang, Amar terlalu menaruh harapan yang tinggi terharap aku. 

Jauh di lubuk hati aku, aku tak menolak andai ada jodoh dengan Amar. Dia baik. Mengambil berat. Kadang-kadang sengal juga. Kehadiran Amar, sesuatu yang tak pernah aku mimpikan.

“Awak ni nak kerja ke tak?”

Satu sergahan menyentakkan aku daripada termenung. Pantas aku berpaling ke arah suara yang kedengaran biadab itu. Aku terpempan.

“Sorry. Dari tadi saya tengok awak termenung. Saya masuk pun awak tak perasan.”

Geram betul. Nak terputus jantung tadi. Aku ingat customer manalah tadi kurang ajar sangat. “Macam mana awak tahu tempat ni?”

“My beloved aunty yang bagi tahu,” ujar Shah, sengih.

“Oh. Dia tak datang sekali?”

“Nope. Saya cakap jangan kacau saya nak berdating dengan awak.” Shah tetap dengan muka selambanya. Macam ini rupanya perangai lelaki bernama Aryan Shah.

Aku gelak sambil menggeleng. Kemudian aku nampak satu kelainan pada penampilan Aryan Shah. “Shah, awak potong rambut eh?”

Shah buat muka terkejut. Terpinga-pinga dan menyentuh kepalanya.

“Eh, ya ke? Patutlah saya bangun tidur tadi rasa pelik. Tengok-tengok rambut dah pendek rupanya,” ujarnya dengan muka bersahaja.

Aku tak tahan ketawa. “Awak ni kenapa Shah? Nak jadi pak lawak ke?”

Dia pula ketawa. “Saja nak hiburkan awak. Mana Aunty Sari?”

“Ada. Kat dalam. Hujung bulan, tutup akaunlah.”

Shah angguk ringan. “Awak tak nak tutup akaun awak untuk bulan ni?”

“Tutup akaun saya? Kenapa pula?” Aku bingung. Berkerut seribu dahi ni.

“Maksud saya, tutup akaun awak untuk keluar dengan saya.”

Aku belum dapat tangkap maksud Shah. Bila sudah faham, tawaku spontan berderai.

“Shah, jangan buat lawak boleh tak?” kataku masih bersisa tawaku.

“Saya suka hiburkan orang. Saya suka buat orang ketawa dan saya suka bila tengok orang ketawa. Tapi kalau awak tak selesa dengan cara saya, saya minta maaf.”

“Eh... taklah. It’s fine with me. Tak salah melawak. Tapi jangan melampau sangat sampai buat orang tersinggung.” pesanku. Tak lekang senyum.

“Setakat ni saya ada buat awak tersinggung ke?” soal Shah. Dengan wajah agak serius.

“So far, tak ada,” kataku seraya geleng. Sambil itu pura-pura rajin mengemas meja di atas kaunter. 

Tiba-tiba telefon bimbit mengeluarkan bunyi yang membuatkan aku tersentak. Nama Amar tertera pada skrin dan sempat dijeling oleh Shah.

“Amar?” soalnya. Terangkat kening memandangku.

Aku abaikan panggilan Amar. Angkat bahu dan teruskan mengemas.

“Dia selalu call awak?” Shah macam tak puas hati.

“Kalau ada hal,” jawabku perlahan. Tangan giat menyusun segala benda di atas meja kaunter.

Aku perasan Shah terdiam. Wajahku ditatap seketika. Dia pandang ke bawah sambil berfikir. Bila dia pandang aku, aku buat-buat sibuk dan berpaling.

“Saya musykil.”

“Sebab apa?” Aku dongak.

“Amar telefon awak.”

Aku terdiam. Aku pun tak tahu apa tujuan Amar telefon aku. Kalau penting, mungkin dia akan telefon sampai aku jawab. Tak pentinglah kut.

Deringan bergema lagi. Aku pandang Shah, Shah tenung aku. Kemudian mata kami sama-sama jatuh ke arah iPhone aku. Lebih mengejutkan apabila gambar yang tertera di skrin adalah gambar Amar pengsan yang aku pakaikan tudung. Habislah... 

Pantas aku ambil iPhone dan masukkan ke dalam laci. Senyum resah tersungging.

“Pondan mana entah,” kataku sambil tersenyum kerang dan beredar ke pantri untuk elakkan diri daripada disoal siasat. Aku nak ambilkan air untuk Shah.

Bila aku kembali, Shah duduk di sofa. Aku hulurkan air kotak perisa oren.

Shah sambut. Dia pusing-pusingkan air kotak sambil mulut memuncung ke depan. Aku tak faham bahasa tubuh itu.

“Kenapa? Tak minum air oren? Saya ambilkan air lain.”

“Dhiya?” panggil Shah seraya dongak ke wajahku. Air kotak diletak di atas meja. Aku tak keruan sejenak menjadi tatapannya. Aku alihkan biji mata. Tak mahu tengok dia.

“Saya balik dulu. Air ni... saya ambil ya.” Shah bangun. Sempat ambil kotak air oren untuk dibawa balik. 

Aku tercengang.

Shah beredar sambil tersenyum memandangku. Aku tak faham maksud senyuman dia. Air muka dia gambar tenang dan manis saja tapi aku tahu ada sesuatu yang terbuku dalam hati dia. Dia tak pandai nak sembunyi perasaan. Sama macam Amar. 

Shah balik. Aku mengeluh menghempas punggung ke atas sofa. Baru duduk, aku teringat panggilan daripada Amar. Aku bergegas ke kaunter dan buka laci. iPhone aku ambil dan lihat skrin. Aku terus hubungi Amar kembali.


MAMA ajak aku makan malam di luar. Katanya hari ini dia belanja walaupun aku sudah dapat gaji. Pasal bonus? Mama belum bagi jawapan. Sedih betul. 

Kami berdua makan malam di Bangsar. Jauh sikit tak apa janji dapat cuci mata.

Aku memandu. Mama di sebelah asyik dengan telefon bimbit dia. Aku fokus dengan pemanduan. Kena hati-hati. Lagipun jalan sesak kat jalan-jalan utama. 

“Mama, boleh Dhiya cerita sikit?”

“Ceritalah.” 

Aku toleh mama sekilas. Masih merenung skrin dengan jari telunjuk swipe di atas skrin.

“Amar ajak Dhiya pergi Anugerah Muzik Malaysia.”

“Betul ke? Kalau macam tu, pergilah. Boleh tak mama nak ikut sekali?” Tiba-tiba mama tunjukkan keterujaannya.

“Dhiya belum fikir lagi. Sebab tu Dhiya nak tanya pendapat mama.”

“Pergilah. Mama sokong sangat-sangat.”

“Tapi mama...”

“Tapi apa? Kalau Dhiya pergi, mesti Dhiya akan jalan dengan dia atas red carpet tu. Nanti terbeliak biji mata orang kampung tengok Dhiya keluar TV. Dhiya tak nak macam tu?”

Itu pula yang mama fikirkan.

“Masalahnya mama, kalau Dhiya pergi, maknanya Dhiya terima cinta dia.”

“Hah? Dia cakap macam tu ke?”

Aku angguk. Perasaan kembali tertekan.

“Habis, keputusan Dhiya?”

Perlahan kepala ini menggeleng. “Dhiya belum fikir. Ada masa sebulan setengah lagi. Dhiya kena fikir betul-betul sebelum terima dia. Dhiya tak nak menyesal dan kecewa kemudian hari.”

“Takkanlah sebab Khalif, Dhiya anggap semua lelaki ni sama. Salah tu.”

Buat seketika, aku terdiam memikirkan kata-kata mama. Betul ke aku anggap semua lelaki sama saja selepas kecewa dengan Khalif? Aku cuma takut kalau-kalau hati aku dilukai lagi.

“Mama ni orang tua. Mama tahu Amar ikhlas dengan Dhiya. Kalau tak, takkan dia bersungguh-sungguh sampai nak ikut kita balik kampung.”

Betul juga cakap mama. Namun, aku tetap ragu dengan tahap keikhlasan Amar. “Dhiya kena play hard to get mama. Kalau kita senang terima lelaki, senanglah kita ditinggalkannya nanti.”

Beberapa saat berlalu, aku perasaan mama diam. Aku berpaling sekilas dan aku lihat mama merenung ke luar tingkap. Aku tersalah cakap ke? Aku cakap perkataan yang menggores hati mama?

“Mama,” panggilku. Aku mula rasa bersalah. 

“Betul cakap Dhiya. Bila kita mudah terima seseorang dalam hidup kita, dia pun dengan mudah tinggalkan kita. Sama macam mama. Dulu mama tak fikir panjang terima dia. Mungkin betullah apa Dhiya cakap. Kalau kita jual mahal, tentu dia hargai kita sebab dengan susah payah dia nak dapatkan kita.”

Aku menarik senyum. Fikirku mama tersinggung dengan kata-kataku. Tapi sedikit sebanyak kata-kataku membuatkan mama terkenang bekas suaminya.

“Dhiya cakap sebab Dhiya pun dah alami, mama. Dhiya terima Khalif sebab dia baik. Tak sangka dia akan kahwin dengan orang lain. Macam tulah hidup kan. Warna-warna kehidupan seseorang itu berbeza-beza. Ada berwarna-warni. Ada berwarna hitam. Macam-macam. Tapi apa pun warna hidup kita, kita yang tentukan. Betul tak mama?”

“Betul. Apa yang berlaku tu semua atas kehendak Allah SWT. Siapalah kita nak menentang.”

“Mama, Dhiya rasa mama dah boleh cari pengganti.”

“Mama pun macam Dhiya jugak.”

“Maksud mama?” Keningku bertaut ala-ala Degawan.

“Play hard to get.”

Baru aku faham. Kami ketawa. Suasana berwarna ceria kembali.


------------------------------------

Bab 31



KALENDAR merupakan teman setia aku sekarang. Mana tidaknya, hari-hari aku akan pangkah kalendar. Kenapa aku buat macam tu? Sebab aku sedang menghitung hari sebelum majlis Anugerah Muzik Malaysia yang akan berlangsung bulan depan. Keputusan yang aku akan ambil itu boleh mengubah seluruh kehidupan aku. Jadi, aku kena buat keputusan yang tepat. Namun, ragu masih menguasai hati.

Aku tolak ke tepi kalendar. Pada petak kalendar itu aku catatkan beberapa nota penting mengenai Amar. Kalendarlah diari aku sekarang. Sebab itu aku anggap Amar bersifat tenggelam dan timbul. Kali terakhir aku hubungi Amar minggu lepas. Bila aku tanya kenapa telefon, alasan dia, bosan menunggu untuk photoshoot. Bermakna dia cuma perlukan aku bila dia bosan saja. Sedihnya.

Berdasarkan kalendar aku ini, sudah seminggu Amar tak hubungi aku. Aku cuma anggap dia sibuk. Maklumlah tak lama lagi ada majlis anugerah. Mungkin ada rehearsal atau apa-apa yang berkaitan. Aku kena bersangka baik.

Aku alihkan semula mata ke arah kalendar. Esok 30 hari bulan. Kenduri di rumah Khalif. Perlahan aku lepaskan keluhan berat. Walaupun aku dijemput ke majlisnya, tak mungkin aku akan pergi. Macam sengaja nak merobek hati sendiri. Aku doakan kebahagiaannya dari jauh saja. Semoga perkahwinannya dengan Umairah kekal hingga ke syurga. Mereka berdua memang ditakdirkan untuk bersama.

“Dhiya?”

Panggilan mama menyebabkan aku terkedu. Tiba-tiba muncul depan kaunter.

“Jom ikut mama pergi hantar barang. Kita tutup kedai awal sikit,” kata mama sepintas lalu dan pergi ke biliknya. Cepatnya menghilang.

Bila mama suruh tutup kedai awal, apa lagi, aku bersemangat kemas apa yang patut. Selesai mengemas, aku pergi ke bilik mama. Dia pun sedang mengemas. Aku perhatikan saja mama masukkan telefon bimbit, buku nota, cermin, beg duit, tisu dan gincu. Aku geleng kepala. Macam itulah perempuan. Lagi besar beg tangan, lagi banyak barang yang nak disumbat.

“Mama, nak hantar barang kat mana?” soalku. Berdiri dan bersandar di muka pintu.

“Rumah Dina. Kebetulan dia ada buat jamuan sikit kat rumah dia.”

Serta-merta dahiku berkerut. “Puan Dina?”

Mama pandang dan angguk.

“Maknanya... Shah ada sana?”

Mama angguk lagi.

“Dia buat jamuan sempena apa?”

“Anak dia dah keluar hospital. Saja buat kesyukuran katanya.”

Kepalaku pula terangguk-angguk.


WAU! Besarnya rumah Puan Dina. Aku terpegun saat tiba di kediaman Puan Dina yang dikunjungi ramai tetamu. Nak parkir kereta pun susah. 

Setelah mendapat parkir, kami masuk ke dalam rumah Puan Dina. Ketika itu ramai orang di dalam rumah sampai tiada celah untuk kami masuk. Semua berkumpul di ruang tamu yang dilapangkan daripada sebarang perabot. Di luar pula kaum-kaum Adam berkumpul di bawah khemah yang siap dengan hidangan bufet.

Puan Dina ternampak kami. Terus dia melambai-lambai tangan. “Sari! Dhiya! Jemput masuk.”

Kami tersenyum dari luar. Puan Dina yang sedang berborak dengan tetamu-tetamunya bangun menyambut kedatangan kami. Buat seketika, semua mata tertumpu ke arah kami. Rasa tak selesa dan segan pula.

Mereka beri sedikit laluan kepada kami untuk masuk. Aku berjalan sambil tunduk dengan penuh sopan. 

“Macam mana keadaan acik?” Mama bertanya.

“Dah okey. Tapi masih kena rehat,” ujar Puan Dina.

Aku menjadi pendengar dan pemerhati. Bila habis berbual, Puan Dina mempelawa kami untuk makan. Elok sangatlah. Perut aku pun kosong sekarang. Buat apa bersembang lama-lama.

“Dhiya, marilah. Kita makan dulu. Shah ada kat luar tu.”

Bila dengar nama Shah, aku tak jadi bingkas.

“Eh, duduk apa lagi? Mari. Makan dulu.” Puan Dina mendesak sehingga menarik tangan aku untuk bangun. 

Aku relakan saja dan mencelah sekali lagi untuk keluar. Kalau macam itu, baik tak payah masuk tadi.

Kami dibawa ke meja bufet. Macam-macam hidangan yang lazat. Aku menelan liur. Lebih-lebih lagi bila ayam masak merah dalam perhatian aku.

“Awak suka ayam merah ya?”

Ada suara menegur ketika aku mencedok nasi ke dalam pinggan. Bila aku berpaling ke arah suara itu, Shah berdiri di sebelah dengan baju Melayu cekak musang dan berseluar jean. Berdiri sambil menyeluk tangan ke dalam kedua-dua belah kocek. Aku ingat ustaz mana tadi.

“Mana awak tahu?” 

“Cara awak tengok ayam tu, macam nak terkam. Macam nak berenang dalam bufet ni.” Dia ketawa. 

Aku tenung ayam masak merah dalam buffet tray. Tanpa endahkan usikan Shah, aku teruskan mengambil makanan untuk sesi memenuhkan perut. Mama menunggu giliran. Aku ambil ayam masak merah, letak dalam pinggan. Kemudian aku ambil juga lauk lain untuk penuhkan pinggan. Selesai, aku cari tempat duduk. Malas nak pedulikan Shah.

Lepas letak pinggan, aku mahu pergi ambil air pula. Baru nak melangkah, dua gelas air Sunquick di depan aku. Satu untuk aku dan satu lagi mungkin untuk mama. Aku memandang Shah yang tersenyum manis dengan selamba menarik kerusi di depan aku. Duduk memandang aku yang masih tercengang dan tak faham.

“Awak tetamu saya.” Dia dapat baca fikiran aku.

“Tapi tak perlu susah-susah. Saya boleh ambil sendiri. Kalau orang nampak, orang ingat saya ni ada apa-apa dengan awak.” Aku berkata separuh berbisik kepada Shah. Sempat jeling kiri dan kanan walaupun tiada orang.

“Tak salah pun kan. Kecuali saya ni suami orang. Awak tu isteri orang. Yang tu salah. Sekarang kita sama-sama... solo.” Ketika menyebut solo, kepala Shah ke depan. Kedua-dua lengan diletak ke atas meja. Nada solo pun sudah cukup meremangkan bulu tengkuk aku.

“Dhiya?”

Bila Shah panggil, aku sedikit terkejut.

“Awak memang belum berpunya ke?”

Soalan Shah sedikit memeranjatkan. Aku makin tak keruan. Tak tahu apa jawapannya. Single but not available atau single but available atau single. Aku sendiri tak tahu apa status aku sekarang. Aku cuma senyum kecil ke arah Shah. Pandai-pandai dialah nak mentafsir maksud senyuman aku.

“MAAF. Saya sibuk sikit sekarang. Keluar pagi, tengah malam baru balik. Rehat tak cukup. Makan tak menentu.” terang Amar untuk meraih simpati aku. 

Aku tahu dia ingin aku memahami perjalanan kariernyanya. Tapi, apa tujuan dia menyepi berminggu-minggu dan tiba-tiba muncul untuk bertanyakan jawapan daripadaku? Elok-elok aku nak pilih dia, terus jadi ragu.

“Amar, saya tak kisah awak sibuk. Tapi takkan awak tak boleh nak SMS saya kejap. Telefon ke. Tak boleh?”

“Dhiya, awak tahu tak yang saya rindu sangat dekat awak.”

Ucapannya buat hatiku tersentuh. Rindu sangat? Perlahan aku dongak ke wajah Amar. Sempat aku pandang mama menjengah kepala kemudian menutup separuh pintu biliknya. Agaknya tak nak tengok adegan aku dan Amar.

“Awak ada... hmm... lebih kurang tiga minggu lagi untuk bagi jawapan. Saya akan tunggu. Saya harap awak faham. Saya memang selalu sibuk. Tapi, fikiran saya tak pernah berhenti fikirkan awak. Awak tahu apa yang saya fikir?”

Aku sekadar angkat kening.

“Saya terfikir... awak dah makan ke belum, buat apa, pakai baju apa, warna apa. Kalau boleh saya nak tanya semua tu tapi saya tak ada masa. Kalau saya telefon dan datang sini jumpa awak, maknanya saya memang betul-betul free. Saya tahu awak masih ragu dengan saya. Tak apa. Saya tak salahkan awak. Saya faham perasaan perempuan. Kalau boleh dia nak selalu berhubung dengan boyfriend dia. Betul tak?”

Aku angguk. Tiba-tiba terkejang. “Awak sebut boyfriend, kan?”

“Ya. Kenapa?”

Aku mengetap bibir. “Awak bukan boyfriend saya. Saya tak buat keputusan lagi. Awak jangan pandai-pandai nak declare ya.” 

Aku bengang. Langsung berpeluk tubuh.

Amar gelak sebiji. “Awak tahu kenapa saya suka awak?”

“Entah,” balasku mendatar.

“Sebab perangai awak yang macam sombong tu. Jual mahal. Tapi jangan jual mahal sangat dengan saya. Saya tak ada masa nak kejar awak.”

“Sebagai perempuan, saya kena jual mahal. Kalau saya jual murah, senang awak nak tinggalkan saya nanti, kan?”

“Siapa cakap? Awak ingat saya ni jenis lelaki macam tu ke?”

“Mungkin. Lelaki memang macam tu. Masa nak dapatkan, mulut tu bukan main manis. Kalah kilang gula. Macam tanam tebu tepi bibir manisnya. Bila dapat...” debatku. Hati mula geram. Asyik lelaki saja nak menang. Aku kena pertahankan kaum wanita.

“Dhiya, apa kata awak terima saya dulu kalau nak tahu saya ni lelaki macam mana. Boleh?”

Aku tergamam. Entah kenapa aku rasa cair dengan kata-katanya. Jangan Dhiya! 

“Saya ada lebih kira tiga minggu untuk terima awak. Itu pun kalau saya terima.” Aku perli Amar.

Dia masih tenang. Memandangku beberapa saat dan terganggu dengan deringan telefon bimbit. Aku cuma perhati.

Amar seluk kocek kiri. Bukan. Cari dalam jaket pula. Bukan juga. Bunyi deringan datang daripada telefon bimbit yang disimpan di dalam beg silangnya. Aku hanya mampu menggeleng. Bila Amar perasan mataku tertumpu padanya, dia nampak malu-malu. 

“Helo?”

Diam.

“Sempat tak siap?”

Diam.

“Yup. Hitam putih. Oh ya, bagi loose sikit ya. Sempat tak siap sebelum majlis tu? Ukuran dia? Hmm...” Amar pandang aku dengan dahi berkerut. Dia pandang tempat yang tak sepatutnya. 

Pantas aku menyilang kedua-dua tangan ke tubuhku. Aku sudah geram lalu jegilkan mata. Amar selamba tak hiraukan jegilan mataku.

“34-25-34.”

Aku ternganga. Dia baca ukuran badan aku? Hampir tepat pula tu ukurannya. Aku bengang. Muka selamba Amar berbual dengan si pemanggil buat aku berangin. Aku bingkas bangun dan bercekak pinggang. Apa semua ni?

“Okey. Terima kasih. Kalau dah siap, telefon awal sikit ya. Bye.” Amar akhiri perbualannya lalu memandang ke wajahku. Telefon bimbit disimpan ke dalam beg silang jenama LV. “Kenapa ni?”

“Apa maksud awak 34-25-34 tu?” soalku dengan nada keras. Kembang kempis hidung menahan perasaan.

“Tak ada apalah. Saya tempah dress. Dia nak tahu ukuran. Jadi saya buat anggaran aje. Awak marah ni kenapa? Awak jangan ingat otak saya ni otak kuning okey! Saya tak ada niat pun.”

Aku rasa tenang sikit. Betul ke dia tak ada niat apa-apa?”

“Awak tahu tak haram?”

“Haram?” Amar bingkas. Dia gelak sambil menggeleng kepala. “Awak ni suka fikir bukan-bukan.”

Aku yang dituduh fikir bukan-bukan? Yang dia pandang aku macam orang miang tu apa?

Amar mendekati. “Saya minta maaf, okey? Tapi saya tak ada niat lain pun. Saya cuma... Okey, macam ni... saya ada sesuatu untuk awak. But you have to wait.”
“Apa dia kali ni?” soalku berkerut dahi.

Amar senyum kecil. “Sabar ya.”


2 comments:

  1. best cerita ni.. suka dgn cara penulisan zara... teruskan berkarya..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Miza Lan ats sokongan..:)

      Delete