Thursday 6 October 2016

WILL YOU MARRY ME, MARIA? 8




BAB 8 



NADIA rasa kurang senang apabila Maria selalu pulang lewat. Adiknya itu tak bimbang ke tentang keselamatan diri? Dia pula yang terlebih risau. 

Deruman enjin kereta di pekarangan rumah membawa Nadia menjengah ke tingkap. Lampu kereta terpadam dan Maria keluar. Nadia buka pintu dan bercekak pinggang.

“Hari-hari balik lewat,” rungut Nadia.
Maria yang baru saja sampai dan agak kepenatan tak hiraukan rungutan kakaknya. Dia masuk dan campak beg galas ke atas sofa. Barulah dia pusingkan badan menghadap Nadia.

“Maria ada banyak kerja, kak. Deadline dah dekat.”

“Akak tahu. Dah banyak kali akak cakap, jangan balik lewat. Kau tu perempuan. Kalau apa-apa terjadi, siapa nak tolong? Kita dah tak ada sesiapa tau. Kau dengan akak aje.”

Maria mendengus pendek. Setiap kali balik lewat, memang Nadia akan membebel. Sampaikan Maria rasa kakaknya seperti arwah ibunya pula. Dia balik lewat kerana tuntutan kerja. Kerja juga satu ibadah.

“Akak, jangan risaulah. Maria tahu jaga diri. Maria dah besar, kak.” Maria cuba membela dirinya. Dia bukan remaja yang perlu dikongkong dan dikawal.

Nadia mampu menggeleng. Ada saja jawapannya.

“Ni dah makan ke belum?”

“Dah,” jawab Maria sepatah lalu mengambil beg galasnya. Dia menuju ke biliknya yang terletak laluan ke dapur.

“Penat aje aku masak,” rungut Nadia lagi. Dia seorang guru. Sikap tegas dan disiplin dalam dirinya tak dapat dikikis. Kerana itulah dia sentiasa tegas dengan Maria. Dia sudah terbiasa begitu. Kerana sikap itu, Nadia akui dirinya sukar didampingi. Orang anggap dia garang. Dia cuma tegas dalam hal tertentu sahaja. 

Kadang-kala dia iri hati terhadap Maria dan Hardy. Tetapi, setelah dia dapat tahu yang mereka sudah berpisah dan Maria menangis-nangis, dia bersimpati. 
Sudah berusia 30 tahun, Nadia berharap dia akan dipertemukan dengan lelaki yang sudi menerimanya seadanya. Sebagai kakak, dia mahu tengok Maria kahwin dahulu. Dia mahu ada seseorang yang boleh menjaga Maria. Jadi, dia tak perlu bimbang lagi.



DATIN NEEMA membelek beberapa keping gambar calon-calon isteri untuk Effan. Perkara yang baik tak elok dilengah-lengahkan. Lagipun, tahun ini genaplah usia Effan yang ke-32 tahun. Dah cukup matang untuk berumah tangga.

“Fan, tengok ni. Ni nama dia Salwa. Anak Datuk Azman. Baru habis belajar. Cantik orangnya. Bertudung. Cuba tengok,” kata Datin Neema seraya memberikan gambar itu kepada Effan. 

Demi menjaga hati ibunya, Effan tengok juga tanpa sebarang perasaan. Kecuali dia sudah berjumpa dengan calon yang sepadan dan mampu mengetuk pintu hatinya. Rasanya seperti dah jumpa.

“Hmm,” Effan mendengus kecil seraya letakkan kembali gambar itu ke atas meja.

Tak jemu Datin Neema menilik gambar-gambar di tangannya. Mana yang cantik, bertudung, itulah yang dicarinya.

“Ha… yang ni. Amboi, cantiknya. Mulus. Kulit licin gebu. Tengok ni, Fan. Comelnya,” puji Datin Neema tatkala merenung gambar itu. Gadis bertudung, berkulit mulus dan cantik orangnya. Dia berikan gambar itu kepada Effan lagi.

Reaksi Effan tetap tidak bernafsu. Dia tidak berminat langsung untuk kenal mana-mana gadis.

Begitulah seterusnya hingga lima keping gambar yang ditunjukkan kepada Effan, namun tiada satu pun dia berminat. Semua usaha Datin Neema seakan-akan sia-sia. Anaknya dah buta agaknya. 

“Fan, takkan tak ada satu pun yang kamu berkenan? Penat mama carikan tau,” keluh Datin Neema.

Effan masih berwajah kosong.

“Effan ni kenapa sebenarnya? Takkan masih tak boleh lupakan perempuan? Dah tiga tahun, Fan. Effan tak boleh biar benda tu mengganggu. Nak lupakan dia, Effan kena dari pengganti. Faham?”

Soalan Datin Neema tidak diendahkan. Effan masih termenung. Lantas, teringatkan Oppy yang juga katakan benda yang sama dahulu.

Effan pandang sekilas ibunya dan kembali tenung ke arah skrin TV. Apa yang ditonton pun hanya kosong di pandangan Effan. Sekosong fikirannya sekarang.

“Tak apalah. Effan simpanlah gambar ni. Bila dah okey nanti Effan tengoklah. Mama naik tidur dulu. Jangan tidur lambat,” kata Datin Neema lalu memasukkan semula gambar-gambar itu ke dalam sampul dan biarkan di atas meja. Dia mula bangun untuk naik ke atas. Bercakap dengan Effan pun seperti bercakap dengan bangku sahaja.

Effan hanya perhatikan ibunya berlalu. Lambat-lambat ibunya melangkah menuju ke arah tangga. Effan tidak patut bersikap begitu dengan ibunya namun dia tiada mood untuk berbincang soal jodoh sekarang. Dia akui, semua gadis di dalam gambar itu cantik belaka. Cuma, dia tidak berminat mengenali insan lain buat masa sekarang. Dia sudah menemui seseorang dalam radarnya.

Ruginya kerana dia tak berjaya mendapatkan nombor telefon Maria. Sekarang dia tak tahu macam mana nak terus berhubung dengan Maria. Memang secara rasminya mereka berkawan. Tetapi, Effan mahu luangkan masa untuk berjumpa dan berbual-bual. 

Otaknya diperah untuk berfikir. Tak lama lagi Majlis Lelongan Amal akan berlangsung. Dia mungkin akan sibuk. Dalam serius berfikir, tiba-tiba Effan petik ibu jari dengan senyuman Darlie. Dia dapat satu idea yang cukup bernas dan bergeliga. 

“Hmm.” Kepala Effan terangguk-angguk seraya tersenyum penuh makna.



ALAT perakam dikeluarkan daripada beg tangan. Maria mula memainkan rakaman-rakaman dan dengar dari awal dan terdahulu. Tak semena-mena kelopak matanya bergenang. Sebelum tangisannya melarat, Maria matikannya. Dia pusing tubuh ke arah meja sisi yang terletak tepi katil dan buka laci. Alat perakam itu dicampak begitu saja. Laci disorong semula. 

Air mata yang mula menitis diseka pantas. Ada kalanya Maria mahu saja ingatannya dilumpuhkan supaya dia tak ingat lagi tentang Hardy. Maria sudah penat menanggung rasa ini kerana dia tahu Hardy takkan kembali semula kepadanya. 

Manik-manik jernih itu berguguran lagi dan dibiarkan. Hanya dengan menangis dia dapat lepaskan perasaan sedihnya.

Tuk! Tuk!

Ketukan pintu yang kedengaran menyentakkan Maria. Dia menyapu laju air matanya dan lap muka dengan tuala sebelum buka pintu.

“Tak tidur lagi?”

Maria geleng dengan wajah muram. Wajahnya sedikit menunduk. Nadia rasa pelik lantas memaut dagu Maria menghala ke arahnya.

“Kau menangis lagi ke?”

Maria ketap bibir. Dia pandang kakaknya. Kolam air matanya bertakung lagi. Bergenang dan berkaca.

“Maria, kenapa kau masih nak ingat dia? Dia dah tinggalkan kau. Dia tinggalkan kau dan nak kahwin dengan perempuan lain. Lelaki macam tu kau nak tunggu? Jangan jadi gila, Maria. Jangan jadi hamba cinta. Lupakan dia.”

Kata-kata Nadia makin menghiris perasaan Maria. Dahlah dia masih bersedih. Nadia tambah lagi kesedihannya.

“Akak cakap senanglah. Akak tak rasa apa yang Maria rasa.”

“Kau ingat akak tak pernah putus cinta? Akak faham apa kau rasa. Sebab tu sampai sekarang aku takut nak bercinta. Tapi, apa kau dapat kalau kau meratap macam ni? Dia tengah berbahagia dengan perempuan tu. Kat luar sana tu ramai lagi lelaki lain. Yang boleh sayang kau, cinta kau. Cuba buka mata dan hati kau. Bagi peluang pada orang lain yang boleh terima kau seadanya. Bukan mengharapkan lelaki macam tu. Kalau kau nak kahwin dengan dia sekalipun, akak takkan izinkan. Dia tak layak untuk adik akak.” Nadia tiba-tiba beremosi. Dia tak tahu kenapa adiknya begitu degil untuk melupakan Hardy.

Maria terharu dengan kata-kata Nadia. Dia sedar penantiannya cuma sia-sia. Harapannya kosong. Sekali lagi dia memandang wajah kakaknya. Nampak kemerah-merahan kerana marah. “Maria, dengar cakap akak. Kau pernah cakap yang kau nak tengok akak kahwin, kan?”

Maria angguk tanpa bersuara. Hanya teresak-esak. Sesekali mengesatnya dengan jari apabila ia menitis.

“Akak nak kau kahwin dulu. Bila kau dah kahwin, akak dah tak risau pasal kau lagi. Nanti ada orang yang akan jaga kau. Jadi, kalau kau nak akak bahagia, kau kena bahagia dulu. Bagi ruang dalam hati kau untuk orang lain. Kau kan wartawan. Jumpa ramai orang. Manalah tahu kau akan jumpa seseorang.”
Talk is cheap. 

Ingat senang ke nak jatuh cinta? Maria tahu betapa sukarnya dia nak dekati Hardy. 

“Tolonglah, Maria. Lupakan Hardy. Buang dia daripada fikiran kau. Apa aje benda yang boleh buat kau ingat pasal dia, kau buang jauh-jauh. Kalau kau dengar cakap akak, akak janji akak takkan marah kau balik lambat lagi. Akak janji!” Nadia beri pilihan kepada Maria. Dia angkat tangan seperti orang bersumpah. Dia benar-benar maksudkannya.

Maria diam dan berfikir. Bolehkah dia mempercayai kata-kata kakaknya itu? 

“Akak tahu tak, dengan cara sibukkan diri aje boleh buat Maria berhenti fikir pasal Hardy. Bila Maria penat, Maria nak rehat dan terus tidur. Maria takkan ada masa untuk fikir pasal dia.”

“Cara kau tu salah. Patut ke akak bawa kau pergi kaunseling?” Dalam serius, Nadia mengusik adiknya. Dia perasan sejak berpisah dengan Hardy, Maria tak seceria dulu. Balik dengan wajah monyok dan lemah. Itu bukan adiknya. 

“Dahlah, kak. Tak payah nak merapu. Maria nak tidur.”

Maria menolak pintu. Nadia menahan dengan tapak tangan.

“Jangan sambung menangis!” pesan Nadia keras.

Maria tak beri reaksi. Malas melayan sangat kakaknya itu. Dia terus tutup pintu dan sandarkan tubuh. Otaknya kosong untuk beberapa saat. Selepas itu, dia tak rasa untuk menangis lagi. Pelik! Seketika dia kembali memikirkan kata-kata Nadia tadi yang ada betulnya. Dia cuma kurang bersetuju bila kakaknya mahu dia kahwin dahulu. Itu dah dikira langkah bendul.

Ah, malas nak fikir. Baik tidur. 

Maria menghempas tubuh ke atas katil dalam keadaan meniarap. Matanya terkebil-kebil. Tak mengantuklah pula! 

Ada satu perkara yang mula mengusik benak Maria. Kata-kata Nadia yang mahu dia berkahwin dahulu menimbulkan rasa aneh. Maria jadi tak tenteram.

No comments:

Post a Comment