Monday 22 August 2016

TANPA AWAK MACAM NAK GILA! 6



Bab 6



JASAD Hessa memang di sebelah Iman Akmal di dalam panggung wayang. Namun, fikiran Hessa melayang entah ke mana. Sambil itu dia terfikirkan tentang jemputan Puan Azzah ke rumahnya hujung minggu nanti. Hessa kurang suka dengan sesi jejak kasih ini. Dia syak pertemuan ini pasti ada agenda tersembunyi. Sekalipun mereka ada merancang sesuatu di luar pengetahuannya, tetapi yang pasti ia takkan berlaku.
Iman Akmal di sebelah dikerling. sedang asyik menjiwai jalan cerita yang penuh dengan emosi itu. Mana ada lelaki yang mengajaknya tengok wayang pada date kali pertama? Biasanya makan-makan saja. Tanggapannya, Iman Akmal adalah lelaki yang membosankan. Skema pun ya. 

Popcorn di tangannya terus disua ke mulut. Riak wajahnya jelas menunjukkan dia terasa bosan di tahap maksima. Lambat betul cerita ni nak habis. Sedang Hessa menghitung masa untuk tayangan tamat, dia terdengar esakan kecil yang datang dari kirinya. Perlahan dia berpaling. 

Dia lihat Iman Akmal sedang mengesat air mata dengan tisu. Hessa toleh ke kiri dan kanannya kalau-kalau ada yang perasan akan ‘drama’ Iman Akmal. Ya ampun, sentimental betul jiwa mamat ni. Macam manalah aku boleh berkawan dengan mamat jiwang macam ni? Aduh. Buat malu sajalah. Mengalahkan perempuan, gerutu hati Hessa. 

Azab Hessa berakhir jua apabila tayangan filem sudah selesai. Penonton-penonton sudah mula angkat punggung dan keluar dari panggung. Hessa masih membatu di kerusinya sementara Iman Akmal sudah pun berdiri.

“Awak tak nak keluar ke?” soal Iman Akmal.

Hessa dalam keadaan terpinga-pinga terus bangun. Semasa Hessa ingin melewati deretan kerusi, tiba-tiba lututnya tersekat pada sesuatu lalu dia hilang kawalan dan hampir terjatuh. Dengan pantas Iman Akmal memaut lengan Hessa dengan kemas. Ketika itu Hessa tergamam. Apabila stabil, cepat-cepat Iman Akmal melepaskan pautannya.

“Sorry,” ucap Iman Akmal. Dia tak sengaja.

Hessa senyum sumbing lalu cepat-cepat keluar melepasi orang yang berpusu-pusu keluar. Antara terkejut dan malu. 

Iman Akmal mengejar Hessa dari belakang. Tentu Hessa marah dengan tindakannya tadi.

“Hessa,” panggil Iman Akmal. 

Hessa berhenti melangkah tanpa berpaling. Tibat-tiba Iman Akmal sudah tercegat di depannya. Dia terpaku.

“Awak marah saya?” 

Haisy, mamat skema ni...

“Saya minta maaf. Saya cuma takut awak terjatuh tadi,” ujar Iman Akmal.

Hessa mendengus kecil. 

“Okey. Saya tahu awak nak tolong saya tadi. Kalau saya jatuh pun, kat lantai aje. Bukannya jatuh dari tingkat lapan. Jomlah kita pergi makan. Saya laparlah,” kata Hessa lalu mendahului Iman Akmal. 

Iman Akmal menyaingi langkah Hessa yang agak cepat itu. Apabila berjaya menyaingi dan berjalan di sebelah Hessa, Iman Akmal tersenyum lebar.

SEMASA menunggu hidangan makan tengah hari sampai ke meja mereka, Iman Akmal dan Hessa berbual-bual untuk mengurangkan rasa lapar kerana menunggu.

“Sedih betul cerita tadi, kan?” Iman Akmal memulakan bicara.

Hessa hanya senyum kelat.

“Ha’ah, sedih kan. Sampai menangis-nangis orang tu,” usik Hessa. Bukan main feeling Iman Akmal tadi.

“Okey, okey. Saya mengaku. Memang saya jenis cepat tersentuh. Walaupun saya lelaki, tapi saya ni agak sensitif orangnya,” ujar Iman Akmal. 

Memang perempuan cepat rasa bosan dengan sikapnya itu. Kerana itulah sukar untuk dia mendamping wanita. 

“Biasalah tu. Lainlah kalau orang tu tak ada perasaan. Kira awak ni normal lagilah,” kata Hessa sambil tergelak kecil. Masih mengenakan Iman Akmal.

Iman Akmal tersenyum simpul.” Hessa, awak okey ke berkawan dengan saya?” 

“Saya okey aje. Kenapa?” 

“Saya risau awak bosan berkawan dengan saya nanti,” tutur Iman Akmal lalu menundukkan wajah.

Memang Hessa akui dia rasa sedikit bosan dengan Iman Akmal, tetapi dia tak kisah. Dia mula selesa berkawan dengan lelaki itu.

“Janganlah cakap macam tu. Saya takut awak yang bosan dengan saya nanti. Yalah, saya selalu aje usik awak. Saya bukannya perempuan yang lemah lembut, sopan, yang jadi idaman kaum Adam,” kata Hessa merendah diri. 

Memang dia akui dirinya agak kasar kerana sejak kecil dia selalu bermain dengan abang-abangnya.

“Saya tak rasa bosan. Saya rasa seronok keluar dengan awak. Awak bukan manja, yang nakkan perhatian lelaki. Saya suka gadis macam awak. Susah nak jumpa. Bukan tu aje, berani pulak tu.” Sempat Iman Akmal memuji Hessa. 

Dia juga mengaku yang Hessa juga menarik walaupun perangainya agak kasar. Tetapi, dia tidak kisah dan boleh terima seadanya. Dia juga sudah mula menyukai Hessa walaupun baru kali ketiga berjumpa. Hessa adalah gadis lain daripada yang lain. 

“Hessa, boleh kita jumpa lagi?” 

“Kalau awak nak jumpa saya, awak kena ikut saya pergi satu tempat ni.” 

“Tempat apa?” 

“Tempat ni istimewa sangat. Nak pergi tak?” 

Iman Akmal angguk. Berminat. “Nak. Bila nak pergi?” 

Hessa senyum tanpa memberitahu bila akan ke sana. Dia mahu Iman Akmal berdebar-debar dan tertanya-tanya ke mana dia ingin bawa lelaki itu pergi. 



No comments:

Post a Comment