Wednesday 13 July 2016

TANPA AWAK MACAM NAK GILA! 2



Bab 2


SEPERTI biasa, hari-hari Hessa sering dihabiskan di Rumah Kirana. Pagi itu, Hessa singgah di sebuah pasar raya untuk membeli air minuman. Apabila selesai, Hessa memasukkan beberapa kotak air mineral yang dibeli dari pasar raya itu untuk dibawa ke Rumah Kirana. Dia mengangkatnya sendirian tanpa bantuan sesiapa.
Tanpa berlengah, Hessa masuk ke dalam kereta setelah menjatuhkan penutup bonet. Ketika Hessa menukar ke gear R, dia terus menekan minyak tanpa melihat ke belakang. Hessa terlanggar sesuatu dan terdengar jeritan kecil. Dia menekan pedal brek mendadak dengan muka tergamam. Cermin pandang belakang ditenung. Tiada apa-apa. Namun, Hessa yakin yang dia terlanggar sesuatu tadi.

Tanpa berlengah, Hessa bergegas keluar dari kereta dan terus ke belakang. Alangkah terkejutnya Hessa apabila dia lihat seorang lelaki terbaring sambil menongkat sebelah siku. Kemudian kakinya terbengkok.

“Kalau nak reverse tu tak reti tengok belakang ke?” Terus si mangsa memaki Hessa. Dia juga cuba bangun. 

Hessa ingin membantu, namun ditepis kasar.

Hessa terkesima. Dia mengaku silapnya itu. Hessa menghampiri. “Maafkan saya, encik. Encik tak apa-apa?” 

Si mangsa dongak tepat ke wajah Hessa. Marah dan berang. Namun, sekali lagi situasi itu terjadi tak diduga. Dia cuba bangun berdiri dengan wajah sedikit berkerut menahan sakit. “Apa maksud awak tak apa-apa?”

“Encik ada luka kat mana-mana tak?” 

“Awak tanya saya? Mestilah ada. Siku saya sakit. Kaki saya ni... mungkin patah. Kepala saya ni terhentak kat tar tadi,” kata lelaki itu menyebut satu per satu kecederaannya. Secara fizikalnya, tiada kecederaan kecil yang dikesan oleh mata kasar Hessa.

Hessa mengerutkan dahi dan memerhatikan keadaan lelaki itu. Kaki mungkin patah? Elok saja berdiri. Apa yang patahnya? Kepala terhantuk ke tar? Tak nampak darah pun, desis hati kecil Hessa.

“Kalau macam tu, kita pergi klinik. Scan kepala encik,” kata Hessa. Kalau benar lelaki itu cedera, lebih baik ke klinik daripada mereka bertekak di situ. Ia takkan selesaikan masalah.

Lelaki itu merenung Hessa. Amati seraut wajah yang persis seseorang yang pernah dia jumpa. Namun, dia kurang pasti sama ada dia pernah berjumpa dengan gadis itu atau seseorang memiliki wajah seirasnya. Ah, itu semua tak penting.

“Encik? Encik?” Hessa memetik-metik jari di depan muka lelaki itu.

Lelaki itu kembali berpijak ke alam nyata.

“Betul encik tak apa-apa ni?” 

“Tak!” balasnya keras.

Hessa cemik bibir. Orang tanya dengan baik, dia jawab macam itu pula.

“Lain kali, hati-hati bila reverse kereta. Jangan main ikut sedap kaki aje nak tekan minyak. Apa guna cermin pandang belakang kalau tak tahu fungsi?” marah lelaki itu dengan wajah yang tegang.

Hessa buat muka mendengar kata-kata lelaki itu. Suka-suka hati saja nak sekolahkan aku, gerutunya dalam hati.

Lelaki itu menilik sikunya. Ada sedikit kesan darah. “Saya harap kita takkan berjumpa lagi. Kalau tak, saya akan balas balik.” 

Hessa terkesima seketika. Ada dia kisah?

“Jangan risau. Kita takkan terserempak lagi. Saya minta maaf. Cepat-cepatlah betulkan mana yang patah tu ya,” katanya dengan senyuman paling manis kerana dia mesti selamatkan diri.

Dengan pantas Hessa bergegas masuk ke dalam kereta dan menguncinya. Dia melihat lelaki itu melalui cermin pandang belakang. Nampak seperti tak puas hati saja. Lelaki itu mula beredar dan sempat merenung tajam ke arahnya sebelum hilang daripada pandangan. 


ZAFREL menghempas punggung ke atas kerusi yang diperbuat daripada kulit itu. Kedua-dua belah tangannya mencengkam pada sandaran tangan. Disebabkan keretanya diparkir jauh, dia terpaksa berjalan untuk ke bank. Apabila kembali ke keretanya, dilanggar pula. Malang betul nasibnya. 

Namun, gadis yang melanggarnya benar-benar mengganggu fikirannya. Wajahnya, cara kerutannya, bentuk bibirnya, persis seseorang. Siapa ya? Atau mereka pernah terserempak sebelum ini dan dia tak menyedarinya?

Yang pasti, dia rasa marah sangat dengan kejadian tadi. Nasib baiklah umurnya masih panjang. Tentang gadis itu, dia harap dijauhkan pertemuan mereka. Dia tak mahu nasibnya malang lagi.

Perlahan, Zafrel menyelak lengan kemejanya untuk memeriksa sikunya. Ada sedikit darah yang sudah kering. Lukanya masih pedih. Kemeja yang dipakainya juga mungkin akan dibuang nanti. Lupakan seketika tentang kecederaan ringannya, Zafrel menyambung kerjanya. Banyak perkara yang lebih penting untuk difikirkan buat masa sekarang. 

Baru saja nak fokus, deringan SMS diterima mengganggu. Zafrel terus membacanya.

Dira akan naik flight kejap lagi. Dira akan further studies kat UK. Cuma Dira nak bagi tahu yang Dira takkan lepaskan Zaf. Dira akan balik untuk tuntut ‘hak’ Dira. Selamat tinggal. Jaga diri.

Usai membaca SMS itu, Zafrel terpaku. Dia langsung tak tahu yang Adira akan menyambung pengajian. Takkan disebabkan kecewa dengannya, Adira buat keputusan yang mendadak? Dia termangu seketika. Apa maksud Adira untuk menuntut haknya? 


KERETA dipandu ke Rumah Kirana. Sambil memandu, Hessa memikirkan lelaki malang tadi. Dia tak berapa pasti, namun wajah lelaki itu mengingatkan dia kepada wajah seseorang. Daripada gaya wajahnya, ada iras-iras Zafrel, jiran lamanya. 

Tetapi, tak mungkin itu Zafrel. Tanpa sedar kepala Hessa menggeleng secara automatik. Lagipun, wajah Zafrel tentu berubah sekarang. Dia masih ingat wajah Zafrel ketika berusia 10 tahun. Gemuk dan tembam. Apabila dewasa, tentulah bertambah gemuk. Mungkin juga dia dah berpindah ke planet lain sekarang.

Malas mengambil pusing akan hal itu, Hessa hanya fokus pada pemanduan sehingga tiba di Rumah Kirana. Seperti biasa, dia akan habiskan seluruh masa dan tenaganya untuk membantu Hidayah. Kadang-kadang, dia pulang awal. Kadang-kadang pula, menjelang malam barulah dia pulang. Setelah semua penghuni Rumah Kirana tidur. 

Hessa seronok buat kerja amal. Seperti satu kepuasan bagi dirinya apabila dapat membantu walaupun sedikit. Dia mula sedar yang tak semua orang bernasib baik dalam hidup. penghuni Rumah Kirana mempunyai sejarah dan cerita masing-masing yang menyentuh hati. Ada juga kisah yang boleh dijadikan iktibar. 

Mereka hanya menghabiskan sisa hidup mereka di sini. Entah esok, entah lusa, ada yang akan pergi buat selama-lamanya. Dengan kesempatan yang ada, Hessa akan pastikan mereka hidup dengan ceria dan gembira. Itulah hasratnya.


DIA dah pergi UK?”

Zafrel angguk berat. Wajah Johan dipandang sekilas sebelum merenung ke luar restoran. Habis waktu kerja tadi, dia hubungi Johan untuk berjumpa. “Dia tak pernah bagi tahu yang dia nak sambung belajar. Aku rasa bersalah sangat sebab tipu dia selama ni.”

Johan lepaskan keluhan kecil. Dia bersimpati dengan Adira. Selama ini, Adira percaya yang Zafrel cintakannya. Rupa-rupanya, Zafrel tak pernah cintakan Adira. Kalau dia di tempat Adira, dia juga kecewa.

“Kalau kau tahu kau tak boleh cintakan dia, kenapa kau tak berterus terang dari awal, Zaf?” Sebagai kawan, dia memang tak setuju dengan tindakan Zafrel. 

“Aku tak sampai hati. Lagipun, dia bersungguh-sungguh selama ni. Aku bukan tak cuba untuk cintakan dia, tapi perasaan tu tak pernah wujud.”

“Tak apalah, Zaf. Kalau kau rasa tu yang terbaik, nak buat macam mana. Aku sebagai kawan kau, cuma boleh bagi nasihat bila kau silap.” 

Wajah Johan dipandang lagi. Kemudian dia menyeluk kocek seluar untuk mengeluarkan telefon pintarnya. Dia mencari SMS yang dihantar oleh Adira tempoh hari untuk ditunjukkan kepada Johan. “Cuba kau baca ni.”

Telefon pintarnya bertukar tangan. Johan membaca SMS itu lantas mengerutkan dahi.

“Kau faham tak apa maksud dia?”

Johan merenung Zafrel bersilih ganti dengan skrin telefon. “Dia takkan lepaskan kau?”

“Bukan. Yang dia cakap akan tuntut hak dia.”

Mata Johan kembali merenung skrin. Membaca ayat terakhir SMS itu. Dia cuba memahami keseluruhan maksud SMS itu. Setelah memahaminya, wajah Zafrel kembali dalam renungan. “Aku rasa dia berdendam dengan kau, Zaf.”

“Apa?” Zafrel menjerit perlahan dengan wajah berkerut. “Bukan ke maksud mesej tu dia akan dapatkan aku semula bila dia balik nanti?”

“Ya. Mungkin. Dia akan dapatkan kau semula dengan apa cara aje. Zaf, aku rasa Adira serius. Kau kena bersedia.”

Zafrel termangu memikirkan kata-kata Johan. Kemudian dia bersuara. 

“Mama aku pun dah mula ungkit pasal kahwin. Tiba-tiba aje. Tak ada angin, tak ada ribut.” Perlahan kepalanya menggeleng.

“Takkan kau dah nak kahwin kut. Tak bestlah macam ni.”

Zafrel ketawa melihat reaksi Johan. “Belumlah. Aku mana ada calon sekarang. Aku bukannya senang nak sukakan perempuan. Tapi, seumur hidup aku, aku pernah sukakan seseorang. Tapi, cerita lama.”

Johan pandang Zafrel dengan diameter kelopak mata yang terbuka.



No comments:

Post a Comment