Wednesday 1 October 2014

JODOHKU SUPERSTAR 26


Bab 26



MIMPI ke apa ni? Aku dengar suara riuh-rendah di luar rumah. Aku sambung tidur. Penat. Mungkin bermimpi lagi. Namun, keriuhan itu makin mengasak telingaku. Tidurku terganggu. Aku bangun dari katil dan mengintai di tingkap. Aku terkedu.

Mak cik, pak cik, abang, kakak, adik, orang tua, sederhana tua, remaja, semua ada di depan rumahku. Terjengah-jengah.

Aku tarik langsir. Aku rasa mereka semua sudah tahu Amar ada di rumah aku sekarang. Hilang mengantukku melihat keadaan di luar. Aku keluar dari bilik dan cari Amar. Mak dan mama duduk di ruang tamu. Ayah tak ada. Amar pun tak ada. Mana mereka?

Melihat aku kebingungan. Mama dan mak bangun.

“Ada orang nampak Amar tadi,” beritahu mama.

Aku tepuk dahi. “Mana Amar?”

Mama muncungkan mulut ke arah luar. Aku mengeluh berat. Mataku menghala ke arah yang mama maksudkan. Aku berjalan perlahan ke pintu yang tertutup dan membukanya sedikit. Aku intai keadaan di luar. Amar dan ayah ada di atas tangga sedang memberi autograf kepada orang-orang kampung dan ada yang ambil peluang untuk bergambar dengan Amar. Ada yang melompat. Ada yang terkinja-kinja seronok dapat jumpa Amar. 

Tiba-tiba aku rasa bangga. Amar nampak seronok dikelilingi peminat-peminatnya. Dia tak lokek melayan mereka. Bila ada yang nak bergambar, dia terus beraksi depan kamera. Sambil itu tangan tak henti turunkan tandatangan.
“Dah beli album baru?”

“Belum. Mahal sangat.”

Aku gelak kecil. Tutup pintu dan mendengar dari dalam.

“Mana mahal. Beli topup 10 ringgit boleh?” Amar menyakat peminatnya. Tak sombong. Ramah sekali. 

Berani dia nak sombong dengan orang-orang kampung aku? Kena halau nanti.

“Amar handsomelah.”

“Mana ada handsome. Biasa-biasa. Nak ambil gambar? Mari sini ramai-ramai.”

“Nak ambil gambar berdua aje boleh?”

“Tak boleh. Mak saya marah bergambar dengan perempuan.”

Aku tak tahan ketawa. Boleh tahan loyar buruk Amar ni dengan peminat dia. Aku dengar suaranya macam lelah. Penat agaknya melayan peminat-peminat dia di kampung aku.

“Alah... bolehlah. Nak buat kenangan.”

“Mari sini. Kita ambil ramai-ramai. Semua masuk sekali. Hah, cepat, cepat.”

Aku tak tahu apa yang berlaku di luar. Macam kurang suara riuh-rendah. Mungkin mereka tengah bergambar beramai-ramai. Aku intai lagi. Nak tengok apa terjadi di luar. Aku ketawa. Ayah kena jadi cameraman. Pandai ke ayah nak petik kamera tu? Terkial-kial saja tangan tu. Sakit perut aku ketawakan ayah. 


ACHIK dan adik asyik merenung Amar. Tak berkerdip biji mata. Aku tahu mereka berdua tak sangka Amar, penyanyi popular Malaysia akan bermalam di rumah kami.

Semua sudah ada di meja makan. Ayah, mak, mama, Amar, aku dan dua adikku. 

“Achik, adik, kenapa tu? Handsome sangat ke Abang Amar ni yang kau orang pandang dia macam tu sekali?” Suaraku memecah kesunyian suasana.

Achik dan adik serentak memandangku. Ketika aku sampai di rumah tadi, mereka berdua tiada di rumah. Bila mereka balik, Amar berehat di bilik. Baru sekarang mereka berjumpa. Mungkin sebab itu achik dan adik terpaku.

“Betul ke ni... Amar Affandy kak?” Suara achik.

“Betullah. Kenapa? Tak percaya ke?”

Achik berpandangan lagi dengan adik. “Boleh tak achik bagi tahu kawan-kawan achik?”

Aku toleh ke arah Amar.

“Nak ajak kawan-kawan?” Aku pandang achik kembali.

“Kawan-kawan achik ramai yang minat Abang Amar. Nanti bolehlah achik ajak dia orang datang rumah. Jumpa Abang Amar. Ambil gambar dan ambil autograf. Boleh tak?”

Mak, ayah dan mama tergelak kecil dengan permintaan achik. 

Achik sekarang di tingkatan empat. Sudah remaja. Mereka tahu perkembangan Amar Affandy.

“Amar, macam mana? Sanggup tak?” kataku kepada Amar. 

“Tak ada masalah. Achik boleh bagi tahu kawan-kawan achik. Abang boleh nyanyi live untuk achik dan kawan-kawan. Tapi, achik kena carikan abang gitar. Boleh?”

Achik angguk sambil tersenyum lebar. “Boleh. Kawan achik ada gitar. Nanti achik suruh dia bawa.”

Amar angkat ibu jari.

“Adik tak nak ajak kawan-kawan adik sekali?”

Adik tunduk bila aku mengusiknya. Dia agak pendiam dan pemalu.

“Sudah, sudah. Kita makan dulu. Lepas ni kita sambung. Kalau ada yang nak jumpa Amar, suruh datang rumah saja. Senang. Kan Amar?”

Amar angguk dengan kata-kata ayah. 

Aku merenung Amar. Dia asyik tersenyum. Nampak gembira. Aku takut dia menyesal datang ke kampung aku kerana terpaksa melayan kerenah keluargaku serta orang-orang kampung. 

“Achik, baca doa makan,” arah ayah.

Kami semua menadah tangan.


SELEPAS makan, semua berkumpul di ruang tamu. Mak tepuk-tepukkan sofa di ruang tamu untuk Amar berlabuh. Bukan main lagi mak meraikan Amar. 

“Mak cik, jangan layan saya macam ni. Saya pun orang biasa.” 

Mak cuma tersenyum. Ayah duduk di sebelah Amar. Aku rasa hairan. Tak berenggang langsung ayah dari sisi Amar. Aku ingat alim-alim ayah, tak sukakan Amar. Rupanya sebaliknya pula.

Aku, mama dan mak duduk di bawah saja. Ayah, Amar dan achik duduk di atas sofa. Kami selesa menonton TV di bawah saja.

“Kamu makan durian?” Aku dengar ayah menyoal Amar.

“Durian? Ada ke? Saya memang suka durian. Kalau sebiji tak cukup. Kadang-kadang saya boleh makan sampai empat lima biji,” cerita Amar.

Empat lima biji? Melampaunya.

“Eloklah kalau macam tu. Esok ikut pak cik pergi kebun. Ambil durian. Kamu makanlah sebanyak mana kamu nak. Durian kat sini elok-elok. Durian kampung. Tak banyak pun pokok. Setakat nak makan anak-beranak.”

“Boleh. Boleh, pak cik.” 

“Kat sana banyak pacat tau.” Aku mengusik. Bukan main beria-ia Amar nak pergi kebun durian. Aku sendiri tak boleh pergi. Geli dengan pacat.

“Betul ke Dhiya?”

Aku menoleh ke arah Amar. “Geli pacat ke?”

Amar terdiam. Aku tersenyum-senyum.

“Alah... pacat aje pun. Nanti pak cik sapukan air tembakau. Pacat takkan naik.”

Ayah ni... baru nak takut-takutkan Amar. 

“Oh. Air tembakau ya pak cik?”

“Petua orang tua-tua. Dulu orang pergi menoreh, kat kebun getah banyak pacat. Dia orang guna air tembakau ni sapu kat kaki.”

“Oh, macam tu. Saya nak ikutlah kalau macam tu.”

Aku cemik. Amar ni orang bandar. Boleh ke dia pergi kebun dan pungut durian? Yang penting, dia kenal ke tidak binatang pacat tu?

“Awak tak ikut sekali?” soal Amar.

“Saya? Eii... tak nak. Tak nak. Saya geli dengan pacat.” Aku buat gaya geli. Terbayangkan pacat pun aku geli-geleman. Inikan pula tengok. Tak tahu macam mana pula kalau pacat itu panjat kaki aku. Mahu pengsan aku di situ.

“Awak makan durian?”

Aku angguk. “Mama nak ikut sekali tak? Hari tu lagi mama cakap nak makan durian, kan?”

“Mama tak nak ikut pergi kebun.”

“Perempuan tak payah pergi. Biar ayah pergi dengan Amar dan achik aje. Nanti kita berkampung makan durian kat rumah,” ujar ayah. 

Kami semua angguk setuju. Dapat makan dengan pulut pun sedap.

Malam kian merangkak. Ayah mula menyerah dirinya pada katil. Mak pun berkali-kali menguap. 

“Mak masuk tidur dululah.” Mak bangun dan masuk ke bilik. Tinggal aku, mama dan adik yang terlena di depan TV.

“Mama dah ngantuk ke?”

“Boleh tahan mengantuk jugak. Mama masuk tidur dululah ya.” Mama turut mengalah. Mengantuk sangat katanya.

Aku dan Amar perhatikan mama bangun dan berlalu ke bilik tidurku. Kami berpandangan.

“Awak tak nak tidur lagi?” Aku menyoalnya.

“Belum mengantuk. Awak?”

Perlahan aku geleng. Mata masih segar. “Macam mana? Seronok ke tak tinggal kat kampung?”

Amar angguk pantas. “Seronok. Saya suka tinggal kat sini. Ayah awak peramah. Mak awak. Adik-adik awak. Yang penting, orang kampung kat sini memang sporting. Saya tak sangka saya ada peminat kat sini.”

Aku cuma senyum.

“Awak cakap ayah awak garang. Tapi saya tengok dia okey aje. Baik aje. Awak kelentong saya, kan?”

Aku mendengus kecil. “Betul. Dia memang garang. Saya pun pelik kenapa dia tak marah awak. Tak sangka dia baik dengan awak.”

“Sebab tu sampai mengigau, kan?”

Tiba-tiba pipiku terasa panas.

“Janganlah ungkit pasal tu,” tegasku. Malu. 

Amar gelak kecil. “Boleh tak saya nak stay kat sini beberapa hari lagi?”

Aku terkesima. “Awak kena tanya ayah saya.”

Dia tersenyum manis. 

“Saya rasa ayah awak sukakan saya. Hmm... ada harapan saya nak jadi menantu dia,” kata Amar separuh berbisik.

“Apa?” Aku kaget. Rasa nak cubit saja mulut Amar. Dia bercakap tanpa fikir perasaan aku. Ada harapan konon. Aku tak pernah setuju untuk terima dia.

“Kenapa awak terkejut? Awak dah janji nak pertimbangkan saya dulu, kan?”

Aku buat muka. Kerut dahi. Muncung bibir. Bajet comel. Kerling dia tajam. “Saya tak cakap apa pun.”

“You promised me.”

“Mana ada!” Aku sangkal.

Amar berubah riak. Daripada ceria tadi, dia nampak murung. Seperti dia datang melawat aku di hospital. “Siapa lelaki kat hospital hari tu?”

Aku tak jawab.

“Dia lelaki yang sama dalam gambar hari tu, kan?”

Aku terpempan. Lidah jadi kelu.

“Saya rasa sedih bila fikirkan pasal tu. Awak cakap ada orang tercicir gambar. Saya anggap awak tak berniat nak tipu saya. Memang saya dah rasa pelik masa tu. Awak gelabah. Awak panik. But who is he?”

Sebab inikah Amar menyepi? Aku tak pernah jangka kehadiran Aryan Shah dalam hidup aku. Begitu juga dia.

“Sorry. Saya tak ada niat nak tipu awak. Saya terpaksa tipu. Saya tak tahu kenapa saya takut awak marah saya. Padahal... awak bukan boyfriend saya pun. Awak tak berhak nak marah. But... sorry.” Perlahan aku tundukkan muka. Kesal.

“Kalau saya tahu sekarang, awak rasa saya marah tak?”

Aku pandang Amar. Dia mengecilkan matanya merenung ke anak mataku. Sempat aku jeling ke arah adik yang sedang tidur. Takut dia dengar perbualan kami. “Kenapa awak nak marah?”

“Sebab saya dah anggap awak lebih daripada seorang kawan.”

Aku tergamam.

“Macam mana awak kenal dia? Kenal kat mana?”

“Kawan mama kenalkan pada saya.”

“Jadi awak setuju?”

“Suka-suka aje.”

“Suka-suka?” Suara Amar naik satu oktaf.

Aku mengetap bibir. Amar macam nak tinggikan suara. Sempat aku beri isyarat mata ke arah bilik ayah. Jangan ganggu singa yang tengah tidur. Nanti kami berdua kena campak ke luar.

Amar kembali mengawal nadanya. “He likes you, doesn’t he?”

No comment. Aku diam.

“Awak tak boleh terima dia bila awak dah setuju untuk consider saya.”

“Awak tak boleh tentukan macam tu. Saya ada hak.”

“Tapi awak baru kenal dia.” 

Aku ketap bibir. Geram. Kang aku blah masuk bilik kang.

“Dhiya, baik awak fikir masak-masak sebelum saya bagi tahu ayah awak.”

Perasaanku cuak.

“Awak nak bagi tahu apa dekat ayah saya?” soalku penuh suspens.

“Janji dengan saya dulu. Awak takkan terima... err... cupcakes delivary man tu?”

“Nama dia Shahlah.”

“Okey. Shah cupcakes.”

Aku tak dapat sembunyi gelak. Dia panggil Shah cupcakes? Apalah Amar ni.
“Jangan ketawa. Saya serius ni.” Amar ugut. Buat muka serius. Macam nak telan aku.

“Kenapa awak panggil dia cupcakes man?” 

“Dia bawa cupcakes. Saya tak tahu nama dia... dan tak nak tahu.” Dia bertegas.
Gelak kecil terlantun dari mulutku.

“Jangan ketawa!” Amar dah tunjuk jari telunjuknya ke arahku.

Pantas aku pekup mulut dengan kedua-dua tangan. Tahan ketawa. Adoi... senak pula perut ni.




No comments:

Post a Comment