Thursday 11 September 2014

JODOHKU SUPERSTAR 22



Bab 22



WALAUPUN Amar cuba mendekati aku, aku belum yakin dengan dia. Aku masih boleh buat pilihan untuk diri aku. Hari ini, Puan Dina telah tetapkan masa dan tempat untuk aku dan Shah berjumpa. Aku tak kisah. Aku juga nak berjumpa orang yang hebat seperti Shah.

Mama izinkan aku keluar dan balik sebelum asar. Aku setuju kerana aku keluar sekejap saja. Lepas jumpa Shah, aku akan terus balik.

Aku menunggang skuter ke tempat yang dijanjikan. Walaupun meredah cuaca panas, aku sabarkan juga. Mungkin ini pertemuan pertama dan terakhir. Demi menjaga hati Puan Dina. Sekurang-kurangnya aku berjumpa anak saudaranya itu. Penat-penat dia aturkan semuanya. Lagipun aku cuma perlu pergi saja. Tak perlu keluarkan modal.

Hari ini, aku memakai selendang yang Puan Dina beri. Dipadankan dengan blaus merah hati dan seluar jenis longgar berwarna hitam.

Lebih kurang setengah jam di atas skuter, aku sampai di sebuah kafe. Dari luar aku nampak susunan cupcakes di dalam peti kaca. Air liur kutelan sebiji-sebiji. Aku cukup pantang dengan kek. Apa saja jenis kek sebab aku penggemar tegar kek. Cupcakes di dalam peti itu seakan-akan melambai memanggil aku. 

Aku tanggalkan helmet dan rantaikan skuterku. Takut kena curi. Aku kendong helmet dan masuk ke dalam kafe itu. Mata masih terkunci ke arah deretan cupcakes yang berwarna-warni dan pelbagai hiasan menarik. Aku akan pastikan yang aku akan beli untuk dibawa balik nanti. Lupakan sekejap tentang cupcakes yang menggoda itu. 

Aku cari kelibat Shah. Aku perhatikan beberapa orang lelaki di dalam kafe itu dan aku tak nampak pun kelibat Shah. Walaupun dengan melihat gambar, aku rasa aku dapat cam muka dia. Aku mencari meja kosong dan menunggu Shah. Mungkin dia dalam perjalanan. Sementara menunggu aku melihat menu yang terletak di atas meja. Selain cupcakes, ada menu lain seperti makanan barat. Cupcakes itu cuma pencuci mulut pagi pelanggan yang mahu makan sesuatu yang manis.

Aku berkira-kira melihat menu. Semua nampak sedap. Aku tengok pula muka surat dessert. Pelbagai jenis cupcakes yang berbagai-bagai perisa ada tersenarai. Kecur air liurku melihat illustrasinya yang comel. Lantas mata ini terhala ke arah peti kek. Aku menjilat bibir. Sedapnya. Kalau dapat makan ni... 
Kalau aku dapat buka kedai kek, hari-hari dapat makan kek. Sedang asyik aku perhatikan cupcakes yang comel-comel itu, ada satu suara menyapaku. Aku mendongak dan terpaku.

“Hai. Awak Dhiya, kan?”

Aku menelan liur. Aryan Shah ke ni? Macam mana dia kenal aku?

“Hai,” balasku jua.

Dia tersenyum manis. Aku masih kejang memandangnya yang menarik kerusi dan berlabuh. Wajahnya sama seperti dalam gambar. Berambut panjang paras bahu, namun penampilannya cukup kemas. Rambutnya juga diikat.

“Macam mana... awak tahu saya ni Dhiya?” tanyaku. Dia masih senyum dan senyuman itu semanis cupcakes.

“Instinct.”

Aku angguk kecil. Tak mungkinlah. Ada beberapa orang pelanggan perempuan di dalam kafe ni. Kenapa dia tuju kepada aku?

“Actually, mak teh ada tunjukkan gambar awak pada saya. Tapi gambar tu nampaknya berbeza dengan awak sekarang. Oh ya, masa tu mak teh cakap dia solekkan awak. Sebab tu nampak lain. But I can still recognize you.”

Bibirku mengorak senyum kelat. Ramahnya dia. Dia cuba mengkritik aku ke apa ni? Nak cakap aku tak cantik sekarang ni? Kalau itu niat dia, ini kali terakhir aku jumpa dia. 

“Saya Aryan Shah. Panggil Shah aje.” Dia perkenalkan diri kepadaku. Walaupun aku telah sedia maklum namanya.

“Dhiya,” kataku sepatah. Dia hulur tangan untuk bersalam, namun tak kusambut. Haram. 

Dia gelak kecil dan tarik semula tangannya. “Saya lebih suka awak sekarang. Natural beauty. Tak perlu mekap tebal-tebal.”

Aku terkejut dengan pengakuannya. Peramah betul dia. Langsung tak bagi peluang aku bercakap.

“Pada pandangan saya, saya sukakan gadis yang memiliki kecantikan semula jadi. Cantik semula jadi.”

“Oh. Ya ke?” 

Dia angguk kepala. “Sebenarnya bahan kimia dalam alat mekap tu boleh rosakkan kulit untuk jangka masa panjang. Jadi, kalau boleh elakkan. Kalau boleh, pilih produk yang berasaskan ekstrak tumbuhan berbanding chemicals.”

Aku bingung. Aku ni bertemu janji ke aku dalam temu bual rancangan kecantikan?

“Shah, tak nak oder minum?” Aku tukar tajuk. Kalau tak, sampai ke habis dia asyik cakap pasal chemical.

“Awak dah oder ke?”

“Belum.” Aku geleng.

Shah mengambil buku menu dan melihat senarai menu. Dia tenung aku. “Awak mesti suka kek, kan?”

Aku terkejut. Macam mana dia tahu?

“Suka. Mana awak tahu?”

Jawapan untukku cuma senyuman manis dia. “Awak mesti suka coklat, betul tak?”

Sekali lagi aku terkejut. Dia ni ahli nujum ke apa? Mana dia tahu semua tu? Aku tak pernah beritahu Puan Dina apa yang aku suka. Aku rasa tak percaya yang Shah boleh tahu semua itu. Ajaibnya. Ke dia ni pakar perempuan atau main tembak saja?

SUDAH tiga biji cupcakes aku santap. Aku tak peduli lagi bila aku jadi visual tatapan Shah. Yang pasti dari tadi lagi aku memang idamkan cupcakes ni.

“Makanlah lagi,” kata Shah membuatkan aku berhenti mengunyah. 

Aku tahu pada pandangan Shah, gelagatku memang tak senonoh. Menikmati cupcakes seperti orang sebulan tak makan. Teguran itu membantutkan seleraku. Namun, aku tetap habiskan kunyahan dan separuh lagi cupcakes. 
“Awak buat apa sekarang?” 

“Tolong mama kat stokis dia.”

“Oh ya. Mak teh pernah cakap. Mama awak ada jual produk, kan?”

Aku angguk sambil mengelap mulut yang penuh krim dengan tisu.

“Kat mana kedai tu?”

“Keramat.”

Perlahan Shah pula angguk.

“Saya dengar awak dulu engineer. Kenapa tukar profesion?”

Shah menarik nafas dan hembuskan perlahan. Dia memandangku tepat ke anak mata. Setiap kali bercakap, dia akan pandang ke mataku. Bila aku bercakap pun, dia tetap pandang ke anak mata. 

“Tiga tahun kerja di Qatar. I’d risk my life for the job. Memang gaji besar. Tapi tak ada maknanya gaji besar bila awak tak boleh buat apa-apa dengan duit tu dan cuma kerja, kerja dan kerja. Lagipun kerja kat pelantar tu risikonya tinggi. Seolah-olah kita pertaruhkan nyawa. If only you can survive.”

Baru aku faham. Rupanya kerja itu tak mudah. Tak berbaloi walaupun gaji mahal, tapi kerja berisiko tinggi. “Sebab tu awak jadi cameraman?”

Shah angguk. “Bebas. Tak terikat dengan jadual. Kalau ada majlis, kenduri, acara besar-besar, semua tu boleh buat income. Yang penting, hasilnya mesti cantik dan terbaik.”

Aku sedut jus perlahan. Telinga masih fokus pada ceritanya.

“Dhiya, awak suka lelaki yang macam mana?”

Aku tersedak. Tercekik air dan terbatuk-batuk. Cepat aku ambilkan tisu dan tutup mulut. Soalan yang tak dijangka. Aku harap pertemuan aku dan Shah cuma setakat ini. Aku rasa mukaku panas.

“Awak okey?”

Aku angguk. Masih terbatuk-batuk.

“Maaf kalau soalan saya ni mengejutkan awak,” pintanya seperti kesal

Aku tak salahkan dia. Mana-mana lelaki pasti akan ajukan soalan yang sama. Setelah aku rasa okey, baru aku bersuara. Peritnya tekak. “Saya sukakan lelaki yang simple.”

“Simple dari segi apa tu?” soal Shah mahu tahu terperinci. Dia mahukan secara terperinci.

“Semua segi.”

Shah diam berfikir. Aku tak pandai nak terangkan ciri-ciri lelaki yang aku idamkan. Aku tak kisah, asalkan dia bukan ada rekod jenayah dan terlibat dengan gejala sosial. Yang pasti dia mestilah orang yang baik-baik.

“Saya tak tahu kenapa mak teh sukakan awak.”

Aku terkedu. Puan Dina sukakan aku?

“Masa pergi Istanbul, dia suruh saya pilihkan selendang. Saya tanya untuk siapa? Dia tak cakap. Dia suruh pilih aje.”

Mendadak aku tunduk merenung selendang yang aku pakai. Jadi, selendang ni Shah yang pilih? Ya Allah. Apa semua ni?

“Bila awak pakai, nampak cantik. Memang sesuai dengan awak. Saya tak salah pilih.”

Berganda aku malu. Rasanya pipi kiri dan kananku bertompok merah.

“Maaf kalau saya ni over. Lagipun ni kali pertama kita jumpa. Maaf.”

Shah macam terkesan dengan reaksiku. Aku memang malu saat ini. Terpaksa aku tundukkan muka. 

“Alamak! Saya tertinggal handphone.”

Aku terkejut dengan jeritan kecil Shah yang menepuk dahinya.

“Kenapa?” soalku berkerut kening.

“Saya nak telefon mak teh. Boleh saya pinjam handphone awak?”

“Err... boleh.” Aku seluk beg tangan dan keluarkan iPhone. 

Aku serahkan kepada Shah dan dia dail sesuatu sebelum dibawa ke telinga. Sekejap saja, Shah matikan. Kemudian aku terdengar deringan telefon tetapi lebih kurang dua tiga saat saja. Bunyi deringan itu macam dekat. Mungkin deringan dari telefon bimbit pelanggan lain. Tetapi, macam kenal saja ringtone tu. Salah satu lagu kegeraman aku daripada kumpulan Ungu. Tercipta Untukku.
Dia pulangkan semula kepadaku. 

“Kenapa? Tak dapat ke?” soalku sambil mengambil semula iPhone dan simpan dalam beg tangan.

Shah hanya tersenyum dengan soalanku. Perlahan dia menyeluk kocek seluarnya dan keluarkan telefon bimbit. Aku tercengang. Patutlah aku rasa aku kenal saja ringtone tadi. 

“Saya akan telefon awak nanti.” Dia tayang telefon bimbitnya yang berjenama Samsung.

Aku rasa tak percaya. Senangnya aku ditipu. Bijak juga si Aryan Shah ni. Pandai dia kenakan aku. Namun, entah kenapa aku tertawa dengan caranya itu. Lain daripada yang lain. Dia berani walaupun baru jumpa. Dia tak teragak-agak. Dia bercakap seperti telah lama mengenali aku. Memang mula-mula aku kurang senang dengan dia tetapi bila kami telah berbual, aku rasa selesa bercakap dengannya.

“Shah, saya rasa saya nak balik dulu,” ujarku lembut.

Shah angguk. “Okey. Awak datang dengan apa?”

“Skuter.”

Shah kerutkan kening. “Panas terik macam ni?”

“Dah biasa.”

“Maaf menyusahkan awak.”

“Tak apa. Saya okey aje,” kataku. Sebenarnya memang tadi aku rasa menyesal juga datang. Nasib baik pertemuan aku dan Shah tak sia-sia.

“Jumpa lagi,” kataku seraya bangun. 

Shah turut bangun. Kami berjalan ke pintu keluar. Aku berhenti.

“Kenapa?” Shah bertanya.

“Saya nak beli cupcakes ni. Nak bawa balik rumah,” kataku seraya tunjukkan ke arah peti cupcakes yang tersusun cantik lagi menawan hati.

“Pilihlah. Biar saya bayar.”

“Eh, tak payahlah.” Aku menolak.

“Pilih aje. Saya bayar.” Shah berkeras nak belanja aku cupcakes.

Memandangkan dia nak bayar sangat, aku mula pilih cupcakes dengan topping yang aku suka. 

“Saya yang ni dua, yang ni dua, yang ni pun dua jugak.” Aku tunjuk cupcakes dengan perisa kegemaranku. 

Pekerja di kaunter itu masukkan ke dalam kotak satu per satu dan tutup. Bila siap dibungkus, Shah bayar di kaunter. Aku rasa gembira dapat makan cupcakes hari ini. Bertuahnya. Ada orang belanja pula tu. Dapatlah aku nikmatinya bersama mama.

“Terima kasih,” ucapku ketika kami sama-sama keluar dari kafe.

“Sama-sama. Kalau awak nak makan cupcakes yang lagi sedap, saya ada satu lagi tempat.”

“Betul ke?” kataku teruja.

“Habiskan yang ni dulu,” kata Shah seperti perli saja. 

Aku cemik.

“Mana skuter awak?”

“Sana.” Aku tunjukkan ke arah skuterku yang aku parkir elok depan kedai.

Dia mengiringiku ke arah skuter. “Perempuan memang suka warna pink ya?” 
Aku senyum. Tentu dia perasan banyak pelekat berwarna pink di skuterku. Kebanyakannya warna merah jambu.

“Alamak! Saya terlupa helmet.” Aku nyaris-nyaris terlupa helmet di dalam kafe. Tanpa membuang masa, aku masuk semula ke dalam dan ambil helmet. Terus aku sarung ke kepala.

Shah di luar sudah tersenyum.

“Cupcakes punya pasal. Helmet boleh lupa?” Dia mengusik.

Diamlah! Aku mula naik ke atas skuter. 

Shah pergi ke keretanya. Wau, boleh tahan kereta dia. Dia melambai tangan ke arahku. Aku menunggang perlahan-lahan ke atas jalan sambil lontarkan senyuman manis.

Aku terus menunggang pulang ke rumah. Ketika menunggang skuter, aku tak perasan ada lubang di atas jalan raya yang agak dalam. Aku tak sempat nak elak lalu terjatuh ke bahu jalan. Kaki kiriku ditimpa badan skuter. Cupcakes jatuh dari raga skuter dan beberapa biji bergolek keluar dari kotak. Aku masih sedarkan diri. Namun tanpa bantuan sesiapa, aku tak boleh bangun. Tiada kudrat.

“Tolong,” jeritku perlahan menahan sakit dan bahang panas. Aku rasa cukup kuat jeritan itu. Nafasku turun naik. Kaki kiriku rasa teramat sakit. Tak boleh bergerak. Aku cuba bangun dan alihkan skuter tapi tak berdaya. Seluruh tubuh ini menggigil. 

“Tolong!” jeritku lagi sekuat hati. Malangnya lemah. 

Tak ada sesiapa ke nak tolong aku? Takkan tak ada sebuah kereta pun berhenti untuk tolong aku? Aku merengek di situ. Sedih bila tiada siapa mahu menolong.

“Dhiya?”

Aku tergamam bila ada suara memanggil namaku. Antara jelas dengan tidak, aku cuba mencari pemilik suara itu. Bila aku dapat memandang ke arahnya, pandanganku mulai kabur. Aku hulurkan tangan untuk menggapainya, namun lemah. Aku terus tak sedarkan diri.


No comments:

Post a Comment