Monday 1 September 2014

JODOHKU SUPERSTAR 18



Bab 18



PUAS melangut, tiba-tiba pintu kedai diketuk. Dilihat ke luar dan aku ternampak kelibat seorang lelaki yang tidak aku kenali sedang memegang jambangan bunga. Pada pemerhatian aku, lelaki itu berusia awal 20-an. Dengan malas aku bangun dan membuka pintu. Aku yakin dia bukan pelanggan kedai ini.

“Ya?” Aku sekadar menjengah kepala di sebalik pintu.

“Boleh saya jumpa Cik Dhiya?”`

“Sayalah Dhiya. Kenapa ya?” soalku. Rasa berdebar. Apa hal pula budak ni cari aku?

“Ada orang kirim bunga untuk cik.”

Automatik bebola mataku jatuh ke arah jambangan bunga ros di tangannya. Aku terkesima. Seumur hidup aku, inilah kali pertama aku mendapat bunga. Aku rasa amat gembira. Tetapi, siapa yang bagi bunga ni untuk aku? Aku mesti tanya.

“Siapa yang bagi?”

Dia angkat bahu. 

Aku mengeluh kecewa. Secret admirer ke? 

“Nah. Tandatangan kat sini ya.” 

Jambangan itu aku sambut. Kemudian aku tandatangan pada borang penghantaran. Sebagai bukti bunga itu sampai kepada pelanggan.

“Terima kasih,” ucapku. 

Lelaki itu senyum kemudian beredar. 

Aku masuk semula dan tutup pintu. Jambangan itu aku tenung dan kira kuntumannya. Semua ada tujuh kuntum. Ros merah. Memandangkan aku tak tahu siapa pemberi bunga ini, aku letak saja di atas meja kaunter. Aku tak berminat.

Sebaik saja aku nak melabuhkan punggung di atas kerusi, iPhoneku menjerit di atas meja. Tersentak aku kerana getaran dan nada dering yang paling lantang. Aku jengah ke skrin. Nama Amar muncul. Aduh... Nak apa lagi dia ni? Asyik mengacau aku saja. Tertekan aku dibuatnya. Sengaja aku lengah-lengahkan untuk jawab panggilan itu. Kononnya sibuk dengan kerja. 

“Helo,” sapaku lemah.

“Helo. Awak dah okey?”

“Hmm. Okey. Okey sangat.” Aku membalas acuh tak acuh.

“Kalau awak dah okey tak apalah. Saya risau kalau-kalau awak nangis lagi.”

“Kenapa awak nak risaukan saya?” Aku menyoal. Aku rasa pelik setiap kali Amar mengambil berat tentangku. Aku rasa cukup janggal bila Amar menghubungiku. 

“Awak tengah sedih. Sebab tu saya risaukan awak.”

“Takkan sebab tu aje?” Aku lahirkan rasa ragu. 

Tak mungkin Amar mengambil berat terhadapku tanpa sebab. Ke memang dia sukakan aku? Seperti yang mama cakap tempoh hari. Haisy... tak mungkin. Akalku menafikan.

“Saya pun tak tahu kenapa. Tapi saya memang risaukan awak. Orang lain putus cinta jugak tapi tak adalah sampai meraung macam awak.”

Aku cemik bibir. Perempuan kalau putus cinta memang meraung. Cakap macam tak pernah bercinta pula. “Mana awak tahu? Dah berapa ramai orang putus cinta yang awak kenal?”

“Awak sorang aje.”

Aku ketap geram. Sambil merenung jambangan ros di depan mata. “Awak tak pernah bercinta ya? Awak tak tahu macam mana rasa bila putus cinta ya?”

“Saya tak pernah bercinta tapi saya nak juga rasa macam mana bercinta tu. Cuma... saya belum berjumpa dengan orang yang sesuai.”

Bibir ini tercemik lagi.

“Saya tak percayalah,” kataku. Tak percaya langsung.

“Awak tak percaya? Betul. Dari dulu saya memang tak pernah bercinta. Bukan tak pernah. Cinta monyet tu adalah. Masa sekolah. Tu dikira bercinta jugak ke?”

“Entah,” jawabku tak berminat. Cinta monyet ke, cinta babun ke, cinta orang utan ke, pedulilah.

“Dhiya, can I ask you for something?”

Aku terus jadi berdebar. Permintaan apa ni?

“Ap... Apa dia?” soalku gementar.

“Amar, let’s start now!” 

Tiba-tiba aku terdengar suara lain di talian Amar menjerit. “Awak kat mana ni?”

“Oh. Ada kerja sikit. Dhiya, bila kerja saya dah siap, saya akan telefon awak lagi. Okey? Take care. Bye.” Tergesa-gesa Amar tamatkan talian. 

Aku mengeluh berat. Mata tak beralih daripada merenung jambangan ros. Aku tertanya-tanya kembali siapa yang begitu murah hati hadiahkan aku bunga. Perlahan aku ambil jambangan itu dan cium kuntumannya. Harum dan segar. Mungkin aku patut letak di dalam pasu dan isikan air. Hmm, idea yang bagus.



“MAKANLAH sikit, Dhiya. Kenapa ni? Benda dah lepas tu, biarlah lepas. Mungkin ada jodoh yang lebih baik untuk Dhiya nanti.”

Aku mengeluh berat. Nasi di depan tak mengghairahkan langsung. Kalau letak ketam masak lemak pun aku tak berselera nak makan. Memang tekakku tak mahu menelan makanan. Perut pun mogok lapar. 

“Jangan dilayan sangat perasaan tu. Dhiya, dengar tak mama cakap ni?” 

Mulut ini belum mampu menghasilkan sebarang bunyi. Dari tadi lagi terkunci. Mama saja yang berkata-kata. Aku hilang mood nak bercakap. Sejak aku tahu Khalif akan berkahwin dengan Umairah, aku hilang semangat. Aku bukan diri aku. Aku seolah-olah hidup dalam alam lain.

“Kalau Dhiya betul-betul cintakan Khalif, kenapa Dhiya tak berdoa pada Allah? Tak guna Dhiya layan perasaan kecewa. Allah ada. Kalau kita minta, insya-Allah Dia akan makbulkan.”

Berdoa? Setiap kali dalam solat aku berdoa agar dia adalah jodohku. Namun, memang sudah ditakdirkan yang Khalif bukan untuk aku. 

“Mama...” Aku baru bisa membuka mulut.

Mama tumpukan pandangannya ke wajahku.

“Dhiya perlukan masa untuk lupakan semua tu.”

“Dah sebulan. Berapa lama lagi Dhiya nak macam ni?”

Aku bungkam. Berapa lama lagi aku harus begini? Aku sendiri pun tak tahu. Bukan kemahuan aku untuk jadi begini. Perasaanku jadi sentimental kembali. Baru nak hilang, rasa sebak datang lagi. Kali ini aku bertahan daripada menangis. Menangis menandakan yang aku kalah. Aku takkan biarkan emosi menguasai aku lagi. Tetapi mampukah aku?

“Nak mama carikan pengganti? Mama ada kenal ramai lelaki-lelaki kacak, kaya. Siap ada yang nak bermertuakan mama. Dia orang ingat mama ni ada anak. Tapi mama ada cakap yang mama ada anak perempuan. Sibuk nak kenal anak mama seorang ni.” 

Cerita mama membuatkan aku sedikit terhibur. Bukan sebab cerita lelaki-lelaki kacak itu. Tetapi kerana mama menganggap aku anaknya. Aku rasa bersalah kerana membuatkan mama risau sejak kebelakangan ini.

“Mama, Dhiya minta maaf. Dhiya dah menyusahkan mama. Dhiya janji, Dhiya takkan ikut perasaan Dhiya lagi. Dhiya akan jadi Dhiya yang dulu. Dhiya yang sebelum jumpa Khalif. Dhiya janji, mama,” jelasku sambil menggenggam tangan mama penuh erat. 

Mama tersenyum memandangku. Aku membalas dengan bibir tercebik-cebik. Big girl... please don’t cry... Aku pujuk hati. Cekalkan hati.

“Dhiya cantik. Mama yakin tak susah untuk Dhiya jumpa pengganti Khalif,” pujuk mama sambil membelai pipiku. 

Aku terharu dengan usaha mama untuk menenangkan hatiku. Aku peluk tubuh mama dan dakap erat. “Mama, terima kasih sebab selalu bagi semangat pada Dhiya.”

“Dhiya kan anak mama. Mestilah mama tak nak tengok Dhiya sedih macam ni. Mulai esok, Dhiya ikut mama pergi jumpa customer mama. Mungkin boleh jumpa jodoh.”

Aku jarakkan pelukan. Masih memegang pinggang mama.

“Tak naklah. Dhiya malu. Biar Dhiya jaga kedai aje ya?” dalihku. Aku tak terdesak lagi nak cari pasangan hidup.

Mama senyum ketap. Perlahan angguk. “Okey. Mama faham. Dhiya jaga kedai aje.”
Tubuh mama kudakap lagi. Aku rasa bertuah memiliki dua orang ibu yang cukup penyayang.

HAMPIR dua minggu Amar tak hubungi aku. Mungkin dia sibuk dengan kerjanya. Aku rasa Amar boleh jadi kawan baik. Dia seorang yang memahami dan mengambil berat. 

Aku kembali jalani hidup seperti biasa. Menjaga kedai mama dan melayan pelanggan. Bila tiada pelanggan, aku akan berehat di meja kaunter dan membaca majalah. Sedang asyik membaca, iPhoneku berbunyi menyebabkan aku tersentak. Aku lihat ke skrin.

“Tijah?” Berkerut dahiku apabila menerima panggilan daripada Tijah. Aku terus menjawab. “Helo. Tijah?”

“Dhiya, kau apa khabar?”

“Aku sihat aje. Kau?” Aku menyoal kembali. Suara Tijah kedengaran sayu. Aku tahu, panggilan Tijah ada kena-mengena dengan Khalif.

“Aku pun sihat. Kau tak balik kampung?”

“Tak. Tak tahu bila. Sekarang aku sibuk dengan business mama.”

“Oh. Hmm... Dhiya, kau dah tahu pasal...”

Aku memintas. “Khalif? Aku dah tahu, Tijah.”

Kedengaran Tijah mengeluh. “Kau mesti kecewa, kan? Aku pun terkejut bila ada orang pinang abang aku. Aku tak sangka. Mak pula terima pinangan tu bagi pihak abang aku. Dhiya, aku tahu kau sedih. Tapi aku nak kau tahu yang abang aku tak cintakan Kak Umairah.”

Aku terdiam. Dada rasa sebak. Namun, aku mesti kuatkan semangat. Aku tak mahu sedih kerana hal ini lagi.

“Tijah, aku dah tak kisah pasal ni. Mula-mula memanglah aku sedih. Sekarang aku dah boleh terima yang aku dan Khalif tak ada jodoh. Walaupun Khalif tak cintakan Umairah, dia tetap kena cintakan Umairah sebagai isteri dia nanti. Tijah, aku okey. Kau jangan risau pasal aku. Mungkin aku bukan yang terbaik untuk dia. Aku tak setanding dengan dia. Dia patut dapat gadis macam Umairah.”

“Mana kau tahu Kak Umairah tu setanding dengan abang aku?”

Aku terdiam sejenak. 

“Kau kenal ke Kak Umairah tu?”

Nampaknya, aku kena beritahu Tijah. “Khalif pernah bawa Umairah jumpa aku.”
“Apa?”

“Dahlah, Tijah. Tak payah fikir pasal ni. Sekarang aku dah okey. Aku dah boleh terima kenyataan ni dan kau jangan salahkan Khalif.”

“Aku tak sangka akan jadi macam ni, Dhiya. Aku ingat... kau akan jadi kakak ipar aku.”

Perasaanku menjadi sayu apabila mendengar suara Tijah yang mahukan aku menjadi kakak iparnya. Seolah-olah Tijah menaruh harapan yang tinggi. Sebelum ini pun dia yang beria-ia mahu aku terima Khalif. Siapa sangka kesudahannya begini? Lama aku terdiam. Tidak boleh salahkan sesiapa. Ini semua takdir Allah. Sesungguhnya jodoh dan pertemuan di tangan-Nya.

“Dhiya, kau tak marahkan abang aku, kan?”

“Marah? Kenapa aku nak marahkan dia sebab dia tak pilih aku? Tijah, kalau aku marahkan dia, samalah macam aku marahkan Allah. Ni semua ketentuan daripada Dia. Aku kena terima dan aku tak salahkan sesiapa. Kau jangan risau. Allah dah tentukan jodoh aku dengan lelaki lain.”

“Kau ada kenal lelaki lain ke sekarang ni?”

Aku memang ada kenal lelaki lain dan lelaki itu ialah Amar. Namun, aku tak boleh beritahu Tijah tentang Amar. “Err... buat masa sekarang, belum kut.”

“Dhiya, aku doakan kau akan berjumpa dengan lelaki yang lebih baik daripada abang aku. Okey?”

Perlahan bibir ini menarik senyum. Aku aminkan doa Tijah dalam hati. “Insya-Allah.”

“Okeylah, Dhiya. Nanti ada masa aku telefon kau lagi. Kalau kau dah jumpa pengganti nanti, bagi tahulah aku ya.”

“Ia. Nanti aku bagi tahu kau.”

“Bye, Dhiya.”

“Bye.” Aku tamatkan perbualan dengan Tijah. Bibir ini masih tersenyum.



HUJUNG minggu yang membosankan. Aku tak rancang apa-apa aktiviti. Mama sibuk dengan businessnya. Aku terpaksa menonton TV untuk hilangkan rasa bosan. Sebaik saja skrin TV menyala, tiba-tiba aku nampak wajah Amar di kaca TV. Amar menjadi model iklan dalam produk terbaru. Tak berkelip mata aku melihat wajah Amar dalam iklan itu. Kacaknya. Lainnya muka dia. Ah, ni mesti teknik mekap. 

Walaupun dalam hati mengutuk, aku tetap terpaku melihat iklan yang berlangsung selama 20 saat itu. Habis iklan, aku tukar saluran. Eh, muka Amar lagi. Kali ini Amar dalam satu program temu bual Ngetop Ke Tidak? Macam yang ulangan. Dalam program itu, Amar menjadi tetamu jemputan bersama seorang pelakon. Aku kurang kenal. Pelakon baru kut. 

Memandangkan Amar dalam program itu, aku tak tukar saluran lain. Aku nak tengok Amar. Hmm, memang betullah dia kacak dalam TV. Kenapa kat luar lain saja muka dia? Hmm, teknik mekaplah tu.

Dalam program itu, pengacara Ella Amin dan Naufal banyak bertanyakan tentang album terbaru Amar. Setiap soalan yang diajukan, Amar menjawab dengan penuh profesional. Aku yang menonton sesekali tersenyum.
Ella Amin: Saya dengar Amar sekarang ada buat single. Album dah keluar. Kenapa tiba-tiba buat single pula? 

Amar: Sebenarnya single terbaru ni bukan untuk dimuatkan ke dalam album. Saya cuma baru belajar menulis lirik sendiri dan lagu terbaru ni saya tulis dan dapat ilham masa friend of mine menangis. She was frustrated and she cried. At that moment, something crossed my mind and I thought, why not I dedicate something for her and give her courages. Sekarang lirik dah siap dan tengah cari arrangement untuk lagu.

Amar buat lirik untuk lagu terbaru. Adakah kawan yang dia maksudkan itu ialah aku? Mukaku serius tatkala merenung kaca TV. Tertanya-tanya dalam kepala.

Naufal: Kenapa tiba-tiba nak dedicate lagu untuk kawan? Adakah kawan awak tu perempuan atau lelaki? 

Amar: (Gelak kecil) Kawan I ni mestilah perempuan... 

Ella Amin: (Mencelah) Perempuan? Sebenarnya Amar ni tak pernah ada gosip dengan mana-mana perempuan. Your fans mesti nak tahu adakah sekarang ni Amar ada mengenali sesiapa?

Naufal: Adakah teman istimewa? Ke awak cuba nak sorok daripada wartawan?

Amar: No comment. Actually, saya belum ada teman istimewa sekarang. Kalau ada, saya takkan sorok daripada peminat saya. Sejujurnya, saya dah bersedia untuk satu hubungan yang serius.

Ella Amin: Maknanya Amar dah bersedia untuk berkahwin?

Amar: (Senyum malu-malu) Something like that... 

Naufal: Kepada peminat-peminat Amar di luar sana tu, bolehlah mula isi borang ya. (Ketawa)

Ella Amin: Kalau saya nak isi borang sekali boleh tak?

Naufal: Kau gila Ella? Mengamuk tunang kau nanti.

Suasana gamat di studio apabila dua pengacara itu mengusik Amar. Aku tak faham, namun terus menonton sehinggalah habis temubual itu. Amar menyanyikan satu lagu di akhir rancangan itu. Lagu itu adalah lagu yang dia nyanyikan kepada aku sebelum albumnya dilancarkan. Lagu yang bertajuk Pesonamu.

Amar berdiri di depan pengacara. Memegang mic stand dan muzik mula bergema. Aku tak berkelip melihat Amar di kaca TV. Aku tak pernah dengar lagu itu dinyanyikan secara langsung. 

Nyanyian Amar bermula. Bila dia pandang kamera, aku rasa seperti dia memandang ke arahku. Daripada gerak tangan dan senyumannya, seolah-olah dia menyanyi di depan aku. Memandang ke wajahku. 

Indahnya. Suaranya yang sedap itu membuatkan ramai yang akan cair. Lagu itu pun sedap didengar. Mendayu dan tidak terlalu berat muziknya.

Patutlah Amar agak lama tak hubungi aku. Rupanya dia sibuk dengan kerjanya. Aku tumpang gembira dengan rezeki yang diberikan kepada Amar. Semoga dia tak lupa kepada Allah yang telah memberikannya rezeki itu.

Habis nyanyian, Amar kenyitkan sebelah matanya. Aku terpegun.



No comments:

Post a Comment